Permainan vs Pembelajaran Secara Online; Adakah Berkesan Atau Memberi Kesan?

Peningkatan kes covid-19 di Malaysia pada saat ini telah menyebabkan seluruh insitusi pengajian tidak kira taska sehinggalah universiti terpaksa ditutup. Hal ini telah menyebabkan banyak program pembelajaran yang telah dirancang terpaksa ditunda. Tidak lupa juga kepada kanak-kanak yang baru beberapa bulan masuk ke prasekolah atau sekolah rendah terpaksa menangguh pembelajaran mereka secara bersemuka dan diteruskan dengan kelas secara dalam maya. Pembelajaran secara norma baru ini bukan sahaja membuat kanak-kanak agak susah untuk meletakkan fokus mereka kepada pembelajaran bahkan boleh menyebabkan pengawalan tingkah laku mereka berada di tahap luar kawalan.

Menurut kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak, mereka menyatakan bahawa kanak-kanak boleh menggunakan gajet tetapi tidak boleh melebihi daripada 10 minit dan jangan tinggalkan mereka bersama gajet bersendirian. Hal ini demikian kerana penggunaan gajet terlalu kerap akan menyebabkan :

1. Proses perkembangan bahasa terganggu.

Menurut sumber Donna.com, pakar psikologi menasihatkan agar ibu bapa banyak berbual dengan anak kecil mereka sekerap yang boleh tentang apa sahaja. Membaca buku untuk anak sebelum tidur adalah aktiviti yang sangat disarankan kerana mereka dapat mempelajari perkataan baru dengan lebih cepat dengan sebutan yang tepat. Jika hanya bergantung kepada gadget, perkembangan bahasa anak anda akan sedikit lambat. Mungkin kerana dipengaruhi oleh Bahasa daripada watak kartun kegemaran atau kecelaruan bahasa sekeliling yang pelbagai.

2. Menyebabkan perkembangan otak pasif

Apabila kanak-kanak bermain gajet, mata mereka tidak aktif bergerak dan hanya tertumpu pada satu tempat. Fokus mata mereka juga hanya tertumpu untuk benda yang dekat. Ini akan menyebabkan pandangan mereka tidak luas. Akibatnya perkembangan otak juga tidak aktif. Deria penglihatan si kecil terutamanya yang berusia bawah 2 tahun harus dirangsang dengan cara merangsang urat saraf mata ke otak untuk perkembangan otak yang berkesan. Anda boleh membawa anak-anak dengan bersiar-siar melihat atau melatih fokus mata melihat benda jauh dan dekat.

3. Membantutkan perkembangan

Gajet atau sebarang skrin yang memaparkan rancangan, aplikasi atau permainan pendidikan khas untuk bayi langsung tidak memberi sebarang kesan kepada perkembangan otak bagi anak kecil di bawah umur 2 tahun. Persatuan Pediatrik Amerika juga mengeluarkan peraturan; menonton TV harus diterhadkan untuk bayi di bawah umur 2 tahun. Bukan sahaja ia tidak membantu dalam perkembangan otak, malah beberapa keburukan juga berpotensi untuk terjadi.

4. Kurang interaksi sosial

Kalau anda perasan, anak kecil yang lebih gemar menghabiskan masa dengan gajet mereka akan kurang berinteraksi dengan orang sekeliling. Ini berbeza dengan si kecil yang lebih banyak bermain atau berbual dengan ibu bapa. Melalui proses ini, mereka akan mengenal lebih banyak ekspresi muka, emosi, vokabulari dan ia lebih berinteraktif.

5. Tidak aktif

Bermain permainan di gajet tidak memerlukan anak kecil bergerak dan bermain aktif. Ini adalah sesuatu yang tidak patut berlaku kerana ia dapat menganggu tumbesaran anak anda akibat kurangnya penggunaan sensorimotor dan otot-otot terutamanya bahagian sendi jari-jemari, kaki dan lutut. Selain itu, ia juga mungkin boleh mendedahkan anak anda kepada kesan obesiti.

Pendedahan kanak-kanak kepada gadget seperti telefon bimbit, ipad dan laptop pada tempoh yang lama menyebabkan mereka membuat perkara yang di luar tajuk pembelajaran mereka pada masa itu. Sebagai contohnya, mereka akan bermain games semasa guru mengajar secara online, dan fokus mereka tidak sepenuhnya pada kelas mereka. Situasi ini bukan sahaja melambatkan proses pembelajaran kanak-kanak tetapi akan membuat mereka lupa tentang apa yang dipelajari selama ini. Oleh sebab itu, secara keseluruhannya pembelajaran melalui gadget ini jika tidak dikawal secara betul oleh ibu bapa, ia boleh memberi banyak impak negatifnya berbanding impak yang positif.

Kesedaran Terhadap Tourette Syndrome

Berbanding dengan beberapa tahun yang dahulu, kini kesedaran terhadap beberapa jenis masalah pembelajaran terutama autisma dan disleksia adalah agak tinggi dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, kebelakangan ini didapati ramai rakyat Malaysia  terjejas dengan Tourette Syndrome tetapi tidak ramai ibu bapa termasuk guru yang mengetahui dan mempunyai pengetahuan mengenai Tourette Syndrome. Terdapat perbuatan-perbuatan yang dilakukan dan suara-suara aneh yang dikeluarkan oleh anak-anak kita sejak dua tahun. Ibu bapa pula tidak faham dan tidak tahu apa yang harus dilakukan pada anak-anak mereka yang seperti ini di mana perbuatan dan suara yang aneh ini hanya dilakukan pada masa-masa tertentu. Kemungkinan anak mereka mengalami masalah Tourette Syndrome, dan perbuatan serta suara aneh yang mereka lakukan ini dipanggil tic.

Gejala awal Tourette Sindrom biasanya diperhatikan pertama kali pada masa kanak-kanak dengan permulaan usia 2 tahun. Tourette Sindrom berlaku pada orang daripada semua kumpulan etnik dan pada kebiasaannya lelaki terjejas sekitar tiga hingga empat kali lebih kerap daripada wanita. Walaupun pelajar dengan Tourette Syndrome sering berfungsi dengan baik di kelas biasa, tetapi tic yang kerap berlaku boleh mengganggu prestasi akademik atau penyesuaian sosial. Semua pelajar dengan Tourette Syndrome memerlukan persekitaran pendidikan yang sesuai dan penyayang di mana kedua-duanya harus cukup fleksibel untuk menampung keperluan khas mereka. Di Malaysia sebilangan pelajar Tourette Syndrome telah dikenal pasti tidak bersekolah kerana mereka dibuli kerana tic motor dan dan suara yang dilakukan oleh mereka. Jadi, di Malaysia kita masih belum mempunyai modul pengajaran dan pembelajaran khas sebagai program inklusif untuk pelajar Tourette Syndrome. Kesedaran dan pemahaman mengenai Tourette Syndrome dalam kalangan warganegara Malaysia juga kurang, oleh itu modul untuk memberi kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru dan orang ramai juga harus dikembangkan. Sehingga hari ini tidak ada perkara yang dikaji mengenai Tourette Syndrome oleh mana-mana jabatan kerajaan di Malaysia. Ini menjadikan pelajar dengan Tourette Syndrome tidak mendapat pendidikan yang betul dan ada juga yang tidak bersekolah.

  • Maksud Tourette Syndrome.

Tourette Sindrom adalah gangguan neurologi yang dicirikan sebagai pergerakan berulang, stereotaip, dan mengeluarkan suara-suara tertentu yang disebut tic. Gangguan ini dinamakan Tourette Sindrom oleh Dr. Georges Gilles de la Tourette, pakar neurologi perintis Perancis yang pada tahun 1885 pertama kali menggambarkan keadaan tersebut pada seorang wanita bangsawan Perancis berusia 86 tahun. Pada masa kini walaupun kajian di Malaysia kurang terhadap Tourette Syndrome tetapi kajian di Amerika Syarikat dapati dianggarkan seramai dua ratus ribu orang mempunyai jenis Tourette Syndrome yang paling parah, dan sebanyak satu daripada 100 orang menunjukkan gejala yang lebih ringan dan kurang kompleks. Walaupun Tourette Syndrome boleh menjadi keadaan kronik dengan gejala yang berlangsung seumur hidup, kebanyakan orang dengan keadaan ini akan menujukkan tingkah laku Tourette Syndrome ini pada usia awal remaja. Di Malaysia, beberapa orang pelajar sekolah rendah telah dikenalpasti dengan masalah Tourette Syndrome ini. Kebanyakkan mereka ini juga tidak pergi ke sekolah kerana perasaan malu terhadap tic yang akan di lakukan oleh mereka di sekolah.

Tic dikelaskan sebagai sederhana atau kompleks. Tic motor sederhana adalah pergerakan berulang secara tiba-tiba, ringkas dan melibatkan kumpulan otot yang terhad. Antara tic yang biasa adalah kelipan mata, pergerakan anak mata, meringis wajah, mengangkat bahu, dan menyentak kepala atau bahu. Manakala tic daripada aspek suara pula adalah seperti bunyi tekak berdaham, mendengus, atau suara seperti batuk. Tic kompleks adalah corak pergerakan yang tersendiri dan terselaras yang melibatkan beberapa kumpulan otot. Tic motor yang kompleks mungkin merangkumi wajah meringis yang digabungkan dengan sentuhan kepala dan mengangkat bahu. Tic motor kompleks yang lain adalah termasuk mendengus atau menyentuh objek, melompat, membongkok, atau berpusing. Tic vokal sederhana boleh merangkumi bunyi seperti pembersihan tekak, mengendus / mendengus, menggerutu, atau menyalak. Tic vokal yang lebih kompleks merangkumi perkataan atau frasa di mana mungkin tic yang paling bahaya dan sukar diterima termasuk pergerakan motor yang mengakibatkan kemudaratan diri seperti menumbuk wajah atau tic vokal termasuk koprolalia (mengucapkan kata-kata yang tidak sesuai secara sosial seperti mencarut dan meyumpah) atau ekolalia (mengulangi kata-kata atau frasa orang lain). Walau bagaimanapun, koprolalia hanya terdapat dalam sebilangan kecil (10 hingga 15 peratus) individu dengan Tourette Syndrome . Oleh itu, Tourette Syndrome adalah pegerakan yang dilakukan atau suara yang dikeluarkan berulang kali tanpa boleh dikawal oleh mereka.

  • Gangguan lain yang dikaitkan dengan Tourette Syndrome.

Ramai individu dengan Tourette Syndrome mengalami masalah neurobehavioral tambahan yang sering menyebabkan lebih banyak gangguan daripada tic itu sendiri. Ini termasuk kekurangan perhatian, hiperaktif, masalah dengan membaca, menulis, dan matematik. Orang dengan Tourette Syndrome juga telah melaporkan masalah dengan kemurungan atau gangguan kecemasan, serta kesukaran hidup yang lain, yang mungkin atau tidak berkaitan langsung dengan Tourette Syndrome. Di samping itu, walaupun kebanyakan individu dengan  Tourette Syndrome mengalami penurunan tic motor dan tic vokal yang ketara pada akhir remaja dan awal dewasa, keadaan neurobehavioral yang berkaitan mungkin berterusan.

Bukan perkara biasa bagi orang  Tourette Syndrome untuk mendapatkan diagnosis  Tourette Syndrome secara formal, ia hanya boleh disahkan setelah gejala muncul selama beberapa waktu. Bagi keluarga dan doktor yang tidak biasa dengan Tourette Syndrome, gejala tic ringan dan sederhana mungkin dianggap tidak penting dan mungkin dianggap ianya sebahagian daripada fasa perkembangan atau akibat daripada keadaan lain. Sebagai contoh, ibu bapa mungkin berfikir bahawa berkedip mata berkaitan dengan masalah penglihatan atau menghidu berkaitan dengan alahan bermusim. Tetapi, sekiranya mereka didiagnos dengan betul kemungkinan mereka mengalami masalah Tourette Syndrome ini.   Ramai yang mempunyai Tourette Syndrome  didiagnos sendiri setelah mereka, ibu bapa mereka, saudara-mara lain, atau rakan membaca atau mendengar mengenai Tourette Syndrome daripada orang lain. Walau bagaimanapun, di Malaysia kesedaran terhadap Tourette Syndrome ini sangat kurang dan kebanyakkan orang yang mengalamai masalah Tourette Syndrome ini hanya dibiarkan tanpa didiagnos.

  • Persekitaran Pendidikan Untuk Individu Tourette Syndrome.

Walaupun pelajar dengan Tourette Syndrome boleh berfungsi dengan baik di kelas biasa tetapi mereka harus ditempatkan dalam persekitaran pendidikan yang memenuhi keperluan masing-masing. Contohnya pelajar Tourette Syndrome mungkin memerlukan bimbingan, kelas yang lebih kecil atau khas, dan dalam beberapa kes mungkin perlu dilibatkan dengan Pendidikan Khas.

Semua pelajar dengan Tourette Syndrome memerlukan persekitaran yang toleran dan penyayang yang kedua-duanya mendorong mereka untuk bekerja dengan sepenuhnya dan cukup fleksibel untuk menampung keperluan khas mereka. Pengaturan ini mungkin merangkumi kawasan belajar persendirian, ujian di luar kelas biasa, atau bahkan ujian lisan ketika gejala anak mengganggu kemampuannya menulis. Ujian tanpa had masa juga mungkin boleh mengurangkan tekanan bagi pelajar dengan Tourette Syndrome.

Oleh itu di Malaysia, kesedaran terhadap Tourette Syndrome ini mesti digiatkan supaya mereka juga akan mendapat Pendidikan yang setimpal dengan pelajar yang normal.

Bijak Tadbir Urus TASKA Anak- Anak Istimewa – SOP Norma Baharu Semasa Pandemik Coronavirus @ Covid19

Wabak covid19 yang melanda tidak dijangka telah mengubah satu dunia. Beberapa bulan lagi Coronavirus telah menghampiri kita genap setahun dan dalam tempoh itulah kita perlu hidup di dalam norma yang baharu. Kini, kita semua perlu mengikuti Prosedure Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tidak lepas juga bagi operasi TASKA yang akan berhadapan dengan kelompok kanak-kanak yang ramai. Jadi, pentingnya pihak TASKA mengamalkan SOP bagi membasmi virus covid19.

SOP yang perlu diikuti bagi pihak TASKA terbahagi kepada tiga pembahagian iaitu :

  1. Sebelum memulakan operasi
    • Sebelum memulakan operasi, pihak TASKA perlu memastikan warga pendidik dalam keadaan yang sihat dan tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit covid19 atau pernah keluar negara.
    • Warga pendidik perlu memastikan kawasan TASKA dinyahkuman menggunakan pembasmi kuman dua kali sehari. 
    • Setiap anak-anak perlu menghantar Borang Pengisytiharan Kesihatan seminggu sekali sebelum memasuki TASKA.
  2. Semasa operasi
    • Suhu badan perlu diperiksa sebelum memasuki TASKA. Jika suhu melebihi 37.5C, anak-anak tidak dibenarkan masuk ke TASKA.
    • Jika terdapat anak-anak yang sakit atau bergejala ketika pembelajaran dijalankan, para pendidik perlu mengasingkan mereka. Oleh itu, perlunya tempat pengasingan di kawasan TASKA bagi menempatkan anak-anak yang tidak sihat.
    • Menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap tempat masuk dan mendidik anak-anak untuk sentiasa membasuh tangan.
    •  Melakukan jarak sosial di dalam kelas dan juga ruang makan.
    •  Penggunaan pelitup separuh muka atau pelindung muka perlu dipakai.
  3. Setelah tamat operasi
    • Selepas operasi, proses sanitasi perlu dilakukan sekali lagi. Warga pendidik perlu memfokuskan tempat-tempat yang selalu dipegang seperti tombol pintu, pemegang tangga, meja, peralatan belajar atau mainan.

Sebagai warga pendidik, kita adalah antara individu penting yang harus menerapkan pengetahuan mengenai covid19 ini kepada anak-anak istimewa. Fokuskan kepada mereka untuk mengamalkan 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan. Terapkan pentingnya kebersihan kepada anak-anak dengan mendidik mereka cara mencuci tangan yang betul. Amalkan 7 langkah mencuci tangan selama 20 saat bagi mencegah virus covid19. Mengenai kesihatan, terapkan kepada anak-anak istimewa ini untuk makan makanan yang berkhasiat dan perbanyakkan buah-buahan bagi meningkatkan sistem imunisasi badan anak-anak. Anak-anak juga boleh dididik dengan keselamatan diri supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka, basuh tangan sebelum menyentuh makanan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Pendidik juga perlu bersama-sama dengan anak-anak istimewa untuk melakukan proses sanitasi kerana anak-anak akan lebih cepat belajar dan ingat jika diamalkan sendiri dalam kehidupan seharian. Didiklah dengan cara yang bersahaja seperti meminta anak-anak mengelap meja menggunakan tisu basah selepas makan atau meminta anak-anak menyembur cecair sanitasi di mainan mereka sesudah selesai bermain.

Tambahan lagi, sebagai pendidik, sentiasa terapkan amalan 3W iaitu wash (cuci), wear (pakai) dan warn (amaran) kepada anak-anak. Terangkan kepada mereka untuk sentiasa membasuh tangan. Bagi anak-anak istimewa ini, para pendidik perlu sentiasa membawa mereka membasuh tangan dan menunjukkan cara yang betul bersama-sama. Selain itu, pastikan anak-anak ini memakai pelitup separuh muka. Mungkin ada anak-anak istimewa yang agak rimas dengan pemakaian pelitup separuh muka (facemask), jadi pendidik boleh menyesuaikan dengan memakaikan pelindung muka (faceshield) pula mengikut keselesaan mereka. Antara amaran yang boleh diterapkan kepada anak-anak ini ialah jangan bersentuhan dengan rakan-rakan atau didik mereka cara bersin yang betul. Didik juga mereka untuk elakkan 3S iaitu tempat yang sesak, sempit dan jangan bersembang dekat dengan rakan-rakan. Terangkan secara santai kepada anak-anak istimewa seperti bercerita secara bersahaja tetapi diulang-ulang setiap hari. Lama kelamaan anak-anak ini akan faham mengenai wabak yang melanda kita sekarang.

Selain itu, nyanyian lagu coronavirus juga boleh dipasang setiap pagi sebagai pendedahan kepada anak-anak istimewa. Sekarang terdapat pelbagai lagu kanak-kanak yang boleh diakses di laman sesawang antaranya lagu jom lawan coronavirus atau di sana virus di sini virus.

Tambahan lagi, peranan ibu bapa juga penting dalam mendedahkan bahayanya coronavirus kepada anak-anak istimewa mereka. Hari-hari ibu bapa boleh berbual di dalam kereta sebelum menghantar anak-anak ke TASKA mengenai covid19 supaya anak-anak faham dan sedar apa yang terjadi sekarang.

Kesimpulannya, kita tidak akan tahu bila virus covid19 ini akan berakhir dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita sebagai manusia perlu berusaha melakukan segala perkara yang boleh mengurangkan kita mendapat jangkitan ini kemudian barulah bertawakal. Mahu atau tidak, kita perlu hidup di dalam norma yang baru ini dan semua pihak harus bersama-sama menerapkan pengetahuan yang baharu kepada anak-anak agar mereka memahami apa yang terjadi.

Kolaborasi TASKA Dengan Ibu Bapa Dan Komuniti Mengenai Kanak-Kanak Berkeperluan Khas

Kolaborasi antara ibu bapa dan komuniti dengan pihak TASKA amatlah penting kerana penglibatan pelbagai pihak adalah penting untuk memastikan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat hasil yang terbaik. Semuanya saling memerlukan satu sama lain. Ibu bapa dan komuniti memerlukan pihak TASKA bagi mendidik kanak-kanak berkeperluan khas manakala pihak TASKA memerlukan sokongan ibu bapa dan komuniti bagi memastikan kelancaran proses pendidikan dijalankan. Kolaborasi membawa maksud kerjasama. Dalam konteks ini, kerjasama yang diinginkan adalah melibatkan ibu bapa dan komuniti dengan pihak TASKA dalam apa jua bentuk.

Umum mengetahui, skop paling penting bagi penglibatan ibu bapa di TASKA adalah untuk kesinambungan pembelajaran. Antara sebabnya ialah bagi memantau perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza bagi setiap individu dan setiap dari mereka adalah unik. Oleh itu, ibu bapa harus berkolaborasi dengan pihak TASKA bagi mengetahui di mana tahap anak mereka dan apa yang anak mereka telah capai. Tambahan lagi, ibu bapa adalah individu yang paling dekat dengan anak-anak dan tahap perkembangan kanak-kanak istimewa ini di rumah diketahui oleh ibu bapa mereka. Selain itu, dengan kolaborasi yang baik juga akan menjadikan ibu bapa faham dan tahu akan kurikulum pembelajaran yang pendidik terapkan kepada anak mereka. Ini kerana ramai ibu bapa yang tidak jelas akan perkembangan yang sepatutnya anak mereka kuasai dalam peringkat-peringkat tertentu. Mengikut Dr. Fathi Yahani, ibu bapa dan masyarakat yang berjaya akan melahirkan anak-anak yang boleh mendiri dan berdikari. Jadi, dengan mengetahui perkembangan pembelajaran, bukan sahaja kanak-kanak berkeperluan khas ini mendapat pendidikan di TASKA malah berterusan juga di rumah. Tambahan lagi, dengan adanya kolaborasi antara ibu bapa dan pendidik, ibu bapa dapat mempelajari cara mengawal kanak-kanak berkeperluan khas mengikut cara yang pendidik terapkan di TASKA. Contohnya, cara menguruskan anak yang tantrum di rumah, cara mendidik kanak-kanak berkeperluan khas menguruskan diri sendiri dan yang berkaitan dengan cara mengendalikan mereka.

Bagi memastikan jurang antara ibu bapa dan pendidik, beberapa program boleh dilaksanakan supaya pendidik dan ibu bapa lebih selesa untuk berhubung dan berkongsi pendapat. Antara program yang boleh dijalankan ialah lawatan sambil belajar. Jujurnya bukan mudah pendidik hendak mengawal  kanak-kanak untuk bersiar-siar. Jadi, dengan penglibatan ibu bapa bersama-sama menyertai lawatan yang dijalankan, ibu bapa boleh bersama-sama mengawasi anak-anak mereka dan pada masa yang sama membantu pendidik menjalankan aktiviti untuk kanak-kanak tersebut serta pendidik dan ibu bapa boleh membentuk komunikasi yang baik. Selain itu, aktiviti seperti Hari Sukan, Hari Graduasi dan Konsert juga membantu merapatkan jurang antara ibu bapa dan pendidik. Pihak TASKA boleh melantik wakil ibu bapa untuk turut serta menjadi ahli jawatankuasa bagi program yang akan dilaksanakan. Dengan itu, pihak TASKA dapat bersama-sama berkongsi idea dan pandangan dari ibu bapa bagi melaksanakan program yang dirancang. Berkongsi idea secara kolektif atau syura beramai-ramai lebih bagus kerana kita dapat menambahkan lagi pendedahan dan buah fikiran dalam satu-satu perkara.

Kolaborasi yang berjaya kuncinya adalah komitmen. Komitmen adalah halangan dan cabaran yang paling utama. Kadangkala kita boleh perhatikan komitmen yang diberikan dari ibu bapa amat kurang ataupun ibu bapa yang sama sahaja yang rajin melibatkan diri. Untuk mendapatkan komitmen seratus peratus dari semua ibu bapa amatlah susah. Jika semua ibu bapa memberikan komitmen dah kerjasama, mudah bagi kedua-dua pihak menjalankan perkara yang dirancang.

Oleh itu, dengan cara berhubung merupakan aspek mudah untuk berkomunikasi dengan para ibu bapa bagi mendapatkan maklumat. Antara perkara yang boleh pihak TASKA lakukan untuk berhubung dengan ibu bapa ialah dengan memberi setiap bulan satu soal selidik bulanan bagi pendidik mengetahui perkembangan kanak-kanak di rumah, kekurangan dari segi pengurusan atau apa sahaja aspek. Setiap bulan pihak TASKA boleh menyenaraikan apa aspek perkara yang hendak diteliti dan soalan-soalan kajian yang berbeza bagi setiap bulan. Contohnya pada bulan pertama, pendidik akan menyoal selidik mengenai perkembangan kanak-kanak di rumah. Bulan kedua, soal selidik mengenai kemahiran yang kanak-kanak sudah mampu lakukan di rumah. Jadi dengan ini, pendidik dapat mengetahui perkembangan setiap murid dan boleh membuat rekod analisis. Selain itu, komunikasi paling berkesan sekali ialah berkomunikasi terus ketika ibu bapa mengambil anak-anak di TASKA. Inilah mudahnya kerana ibu bapa akan menghantar dan mengambil anak mereka terus di pintu TASKA. Pendidik yang mengajar setiap anak-anak itu yang perlu ditugaskan untuk menghantar sendiri muridnya bagi memastikan segala input, komen aau pengisian dapat disampaikan oleh kedua-dua pihak.

‘Parents as partner in education’. Ibu bapa sebagai rakan kongsi mendidik kanak-kanak adalah ungkapan yang saya popularkan. Marilah bersama-sama berganding tangan demi kebaikan anak-anak kita bersama, seiring dan sejalan, berkongsi suka duka, kekuatan kelemahan agar anda sentiasa disokong.Kesimpulannya, tugas pendidik sememangnya mendidik. Akan tetapi, pendidik juga memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan komuniti bagi kecemerlangan anak didik. Bak kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Pendidikan Inklusif Bagi Anak-Anak Istimewa – Akomodasi Dan Modifikasi

Dahulu, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa, buat pertama kalinya akan menjadi satu perkara yang mencabar bagi mereka untuk mencari tempat untuk  mendapatkan  pendidikan bagi anak-anak ini. Kini, mudah bagi ibu bapa menempatkan anak-anak istimewa ini bagi mendapatkan pendidikan yang sama seperti kanak-kanak tipikal yang lain, semuanya di hujung jari. Umum mengetahui kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan tumpuan dan sokongan yang lebih dari semua pihak. Sememangnya keupayaan kanak -kanak berkeperluan khas ini tidak sama dengan kanak-kanak tipikal. Walaupunbegitu, ianya tidak membataskan peluang pendidikan yang berhak mereka perolehi.

Pendidikan inklusif telah diperkenalkan dalam pendidikan khas. Pendidikan inklusif  yang memberi peluang kepada kanak-kanak bermasalah lewat perkembangan untuk mendapatkan persekitaran pendidikan yang sama seperti kanak-kanak tipikal yang lain. Usaha pihak tertentu dalam memberi peluang sama rata kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini wajar diberi penghargaan. Kita seharusnya tidak mengasingkan hak anak-anak istimewa ini dalam komuniti kita. Kita akui tidak semua kanak-kanak berkeperluan khas sesuai untuk diberi peluang turut serta dalam pendidikan inklusif ini. Kriteria seperti tidak cacat anggota badan dan boleh berkomunikasi antara perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan akan tercapai objektifnya.

Melalui pendidikan inklusif para pendidik akan memikirkan bagaimana cara untuk memastikan anak anak istimewa ini mendapat perhatian dan kefahaman yang optimum di dalam kelas dan pada masa yang sama memastikan kurikulum yang disediakan dapat berjalan seperti yang dirancang.

Bagi pendidikan inklusif ini, para pendidik kebiasaanya akan memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran diubah sedikit mengikut kemampuan anak-anak istimewa yang turut serta di dalam kelas. Modifikasi atau pengubahsuaian ini bertujuan supaya anak-anak istimewa ini dapat menjalani pembelajaran seperti rakan-rakan yang lain dan pada masa yang sama mengikut kemampuan diri mereka. Contohnya, pendidik meminta kanak-kanak mengasingkan objek mengikut warna. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, pendidik boleh melakukan modifikasi dengan cara mengurangkan jumlah warna yang perlu diasingkan.

 Ada juga pendidik yang menerapkan akomodikasi iaitu penyesuaian contohnya menyesuaikan jumlah tugasan yang diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini. Selain itu, guru boleh memberi penambahan masa, memberi sokongan yang lebih kepada kanak-kanak berkeperluan khas ketika melakukan tugasan, membantu menyusun dan mengembangkan ayat dan membuat aktiviti pengukuhan di dalam kelompok yang lebih kecil.

Antara cabaran untuk melaksanakan pendidikan inklusif  ini ialah isu penerimaaan ibu bapa. Rata rata ibu bapa lebih gemar anak mereka belajar di dalam kelas khas kerana bagi mereka pendidik yang mengajar lebih berpengalaman dalam mendidik anak mereka. Selain itu, ibu bapa yakin bahawa kelompok kelas yang sedikit membolehkan anak mereka diberi perhatian yang lebih oleh para pendidik berbanding bercampur dengan kelas kanak-kanak tipikal yang ramai. Penerimaan rakan sekelas dengan kanak-kanak lewat perkembangan ini juga adalah perkara yang timbul yang wujud dalam diri mereka untuk bergaul. Oleh itu, penting bagi ibu bapa mengetahui kandungan dalam pendidikan inklusif ini.

Pendidikan Inklusif merupakan usaha bagi menyamaratakan peluang pendidikan. Jadi bersama-sama lah kita mengusahakan kemenjadian program ini dengan cara ibu bapa hendaklah memberi kepercayaan kepada pendidik untuk merelisasikan apa yang dirancang. Pendidik juga perlu berusaha dengan lebih dan sentiasa mencuba pelbagai kaedah lagi bagi menjayakan pendidikan inklusif.

Anak Istimewa

Siapa sangka bayi yang aktif dalam kandungan selama sembilan bulan sembilan hari rupanya ditakdirkan sebagai anak istimewa. Semuanya bermula selepas dia dilahirkan. Tiada tangisan; dalam keadaan separa sedar, saya diberitahu bahawa anak  ini perlu ditahan di wad NICU (Neonatal Intensive Care Unit) kerana jantungnya laju.

Keadaan fizikalnya yang nampak lemah, dengan isu kesihatan pelbagai sejak lahir menyebabkan anak saya kerap dimasukkan ke hospital. Ujian EEG (electroencephalogram) akhirnya memberi jawapan bahawa anak ini mempunyai gangguan sawan jenis “infantile spasm” dan juga sindrom yang belum dikenalpasti. Saya yang bukan dari bidang perubatan, menyerahkan kepada mereka yang ahli untuk memberi rawatan yang sewajarnya kepada anak saya.

Saya sedar, program intervensi awal sangat diperlukan ketika ini. Saya mula membuat carian berkenaan kondisi anak ini. Seringkali bertanya kepada doktor dan terapis berkenaan anak ini. Selain mencari kumpulan sokongan yang ada untuk saling bertukar pengalaman berkenaan isu-isu berkaitan.

Sebagai penjaga tunggal, saya perlu patuh kepada semua arahan dan nasihat doktor. Jadual pemberian ubat, sesi terapi berkala semuanya saya penuhi untuk bantu anak ini. Anak saya menerima rawatan sepenuhnya di Hospital Kuala Lumpur dan kami menetap di Putra Heights ketika itu (sekitar tahun 2010-2011). Kami berulang alik ke hospital untuk setiap temujanji dengan menaiki teksi kerana saya tiada kenderaan persendirian.

Faktor kewangan juga turut menjadi penentu pemilihan rawatan pemulihan. Belanjawan bulanan melibatkan makanan, lampin pakai buang, keperluan lain dan kos pengangkutan perlu dirancang sebaiknya.  Gaji yang diterima sebagai pekerja tadika hanya cukup untuk menampung perbelanjaan hidup kami dua beranak. Ada sahabat yang mampu membawa anak ke luar negara untuk rawatan lebih baik, saya usaha seadanya. Syukur, semua perkhidmatan di hospital adalah percuma dengan kelebihan kad OKU.

Klinik Genetik, Neurologi, Oftalmologi, Ortopedik, Dietetik, Pergigian selain terapi dari Unit Pemulihan (Fisioterapi, Carakerja, Terapi Air dan Pertuturan), semuanya kami hadiri. Jika ada rezeki lebih, saya juga membawa anak untuk terapi kuda berbayar.

Selain itu, saya menghadiri beberapa program berkenaan penjagaan anak istimewa anjuran pihak hospital dan lain-lain badan yang terlibat. Kami juga bernaung di bawah persatuan berdaftar GAPS (Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum) dan MYCP (Malaysian Advocates for Cerebral Palsy). Dari situ, banyak ilmu yang dipelajari dan ianya sangat bermanfaat untuk dipraktikkan kepada anak istimewa (terutama yang terlantar seperti anak saya).

Mahu atau tidak, anak terlantar dengan limitasi pergerakan sepertinya memerlukan alat mobiliti yang baik. Anak saya pernah menerima sumbangan kerusi roda khas dari sebuah kumpulan profesional ketika saya tiada punca pendapatan suatu masa dahulu. Semakin tinggi, ‘stroller’ kanak-kanak sudah tidak sesuai dengannya. Menggunakannya sudah lebih lima tahun, saya kira besar manfaatnya mengalir buat mereka yang terlibat. Kini, saya sedang usahakan untuk kerusi roda yang lebih baik kerana sudah melebihi berat dan ketinggian maksima.

Buat ibu bapa sekasut, ujian kita mungkin tidak sama. Marilah kita jaga amanah ini sebaiknya:

  • Jika berasa lemah, carilah seseorang yang dipercayai dan berceritalah kepadanya. Luahkan emosi tersebut sehingga rasa lebih tenang agar kita boleh bangkit semula dengan semangat baru untuk meneruskan perjuangan ini. Usah disimpan sendiri, khuatir tak mampu melawan bisikan hati.
  • Sertailah mana-mana kumpulan sokongan, pasti ada input baik yang boleh dimanfaatkan untuk anak kita. Paling tidak, boleh saling menyokong sesama kita.
  • Luangkan sedikit masa untuk diri sendiri, buatlah aktiviti yang menyeronokkan sesekali. Kita juga perlu bahagia!

Tanggungjawab Bapa Lebih Mencabar Dengan Seorang Anak Istimewa

Umar, seorang anak istimewa yang amat berbakat dalam muzik

Kebanyakan ibu bapa menggalas tanggungjawab yang tidak mudah apabila terdapat hanya seorang pencari nafkah dalam keluarga. Perkara sebegini tidak pernah dirancang oleh sesiapa tetapi Hasfizal Mukhtar dan isteri menerima dengan hati terbuka. Anak sulung mereka, Umar (kini 21 tahun) seorang anak istimewa.

“Menjadi bapa kepada anak istimewa membawa cabaran tersendiri. Saya dan isteri mula-mula ketahui bahawa Umar berada dalam spektrum autisme kira-kira 19 tahun lalu. Ketika itu, kesedaran autisme sangat rendah,” dedah bapa tiga anak lelaki itu.

Bolehkah anda kesan jika seseorang itu autistik?

Seseorang yang berada dalam spektrum autisme tidak dapat dikenal pasti hanya berdasarkan ciri-ciri fizikal. Bagaimanapun, mungkin ada perbezaan kelakuan seperti kesukaran interaksi sosial dan komunikasi dan kecenderungan untuk menunjukkan kelakuan terhad atau berulangan.

Dikenal pasti pada usia dua tahun

Sejurus selepas mengetahui bahawa Umar berada dalam spektrum autisme, pelbagai perasaan dan emosi dialami Hasfizal dan isterinya. “Memang benarlah bahawa anda akan berasa takut terhadap perkara tidak diketahui. Dua dekad lalu, tiada banyak maklumat tentang autism dalam internet. Selepas membuat pertanyaan di banyak tempat, kami akhirnya mengetahui bahawa Umar memerlukan program intervensi awal.”

Isteri Hasfizal telah berhenti kerja untuk menjaga Umar dan selepas hampir 20 tahun, ini sememangnya sangat berbaloi. Umar telah mempelajari untuk berdikari dan menjalani kehidupan yang agak normal. Umar berbakat dalam muzik dan menyanyi dan ini telah dipupuk dan digalakkan oleh ibu bapanya. Hasilnya, Umar telah banyak memperoleh keyakinan diri dan malah diundang untuk membuat persembahan di acara korporat dan kerajaan.

Umar semasa muda di rakaman studio
Umar dengan ibunya, bersama koleksi anugerahnya

Cabaran besar

Di samping beban kewangan yang digalas Hasfizal (beliau baru sahaja mula bekerja apabila isterinya menjadi suri rumah), beliau juga menghadapi waktu yang sukar untuk menerima keadaan anaknya. Rasa tanggungjawab menjadi lebih berat, terutamanya apabila kesejahteraan anaknya menjadi tanggungjawab sepanjang hidup.

Satu lagi cabaran bapa muda itu adalah untuk menghadapi ketakutannya berhadapan dengan orang ramai. Mujurlah, rakyat Malaysia agak baik hati dan memahami, jadi beliau mampu menyesuaikan diri dalam situasi itu dengan selesa.

“Ada masanya saya ternampak orang yang tidak selesa dengan Umar. Saya tidak menyalahkan mereka kerana autisme bukanlah keadaan yang diketahui ramai pada waktu itu… malah hari ini sekali pun masih kurang kesedaran,” luah Hasfizal.

Sukar untuk keluar

Perkara harian normal yang ramai orang ambil mudah, boleh menjadi satu masalah kepada anak dan ibu bapa yang perlu menghadapi autisme. Membesarkan Umar dalam sebuah komuniti yang tidak memahami mahupun tahu tentang autisme bukanlah mudah.

Membesarkan Umar dalam sebuah komuniti yang tidak memahami mahupun tahu tentang autisme bukanlah mudah.

Membawa Umar untuk potong rambut atau kenduri kahwin adalah mencabar. Hingga kini, Umar sensitif kepada bunyi dan getaran. Jadi, tukang gunting rambut terpaksa menggunakan hanya gunting dan harus sanggup bersabar dengannya. Di majlis perkahwinan, dengan ramai orang dan cuaca panas, situasi sebegini memaksa Hasfizal dan isterinya bergilir untuk makan sambil dan memegang Umar untuk menenangkannya.

Membantu di rumah

Walaupun isteri Hasfizal paling banyak menjaga Umar, Hasfizal tetap membantu sebanyak mungkin. Beliau berterusan terlibat secara mendalam dalam kehidupan Umar termasuk menguruskan kerjaya Umar sebagai pengurus, pemandu dan pengawal peribadi.

“Saya rasa para bapa harus turut berusaha membantu mengurangkan beban isteri mereka. Basuh pinggan atau basuh baju dan luangkan masa bersama-sama anak istimewa anda. Berikan ‘hari cuti’ pada hujung minggu untuk isteri anda berehat,” kongsi Hasfizal.

Keharmonian adik beradik

Beliau juga harus membahagikan masa dengan ketiga-tiga anak demi memastikan dua adik-beradik Umar yang lebih muda tidak berasa cemburu dengan masa tambahan yang diberikan kepada Umar. Ini juga membantu tiga beradik itu menjalinkan hubungan yang lebih kukuh.

Hasfizal dengan Umar

Hasfizal merancang aktiviti yang boleh disertai oleh ketiga-tiga beradik itu. Mereka akan meluang masa bermain muzik bersama-sama; Umar akan menjadi vokalis, adik-adiknya akan bermain piano dan dram dan Hasfizal akan bermain gitar. Ini cara yang baik untuk mereka merapatkan hubungan.

Petua Hasfizal membesarkan anak istimewa

  1. Kekal Positif: Pastikan anda realistik semasa menetapkan jangkaan. Jangkaan tidak realistik sememangnya akan menyebabkan banyak masalah. Terlalu menekankan sesuatu boleh menjadi tidak berkesan.
  2. Lihat usaha, bukan hasil: Setiap anak berbeza. Hargai usaha mereka dan jangan bandingkan hasil. Belajarlah untuk menerima bahawa kejayaan biasanya mengambil masa untuk dicapai.
  3. Kerjasama itu penting: Kedua-dua ibu bapa perlu menyokong sesama sendiri.
  4. Sentiasa bersedia dan elakkan pencetus: Fahami pencetusnya dan bersedia untuk menghadapinya agar mengelakkan kejadian tidak diingini.
  5. Berkenalan dengan ibu bapa lain: Berkongsi maklumat dan pengalaman dengan ibu bapa lain dapat membantu menjadikan kehidupan anda lebih mudah. 

Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Pergigian Pediatrik Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat yang terdapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.mypositiveparenting.org atau Facebook kami di @positiveparentingmalaysia 

Memahami Dan Bagaimana Mengatasi Anak Yang Sedang Tantrum

Tantrum biasanya kita dapat lihat dengan aksi anak seperti kelihatan berguling- guling membaringkan badan di atas lantai.Kakinya pula meronta- ronta memusing- musing ke atas dan ke bawah . Kedua-dua belah tangan bergerak secara pantas ke kiri dan ke kanan.

Nada suara pula agak kuat seolah- olah seperti menjerit dan kadangkala seperti menangis tetapi tidak ada air mata yang mengalir .Hal ini berterusan selama beberapa minit kadangkala sehingga hampir sejam .

Ada usaha memujuknya makin kuat dan ganas serta sangat agresif anak ini meronta- ronta dan terkadang menyepak dan menendang kita dengan kekuatan yang luar biasa ,bibir saya pernah pecah dan luka berdarah menangani anak kerana di pukul dengan anak yang sedang dalam situasi begini gara-gara belum tahu mengendalikan anak yang mempunyai tingkahlaku seperti ini .

Tantrum adalah sesuatu kebiasaan @ normal tetapi amat mencabar ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak yang mengasuh anak mulai terbit matahari sehingga matahari terbenam semula .Tantrum boleh berlaku dalam bentuk yang berbeza, ianya mungkin adalah kekecewaan , kemarahan dan dalam bentuk tingkahlaku yang mencabar seperti jeritan, tangisan , membaling dan memecahkan objek serta kelakuan agresif yang lain .

Tantrum adalah tempoh singkat di mana berlakunya kemarahan secara tiba- tiba atau perlakuan tidak wajar seperti menangis, menjerit ,memekik dan menunjukkan ketidakpuashatian dengan memukul dan menendang .Ianya adalah perkara biasa dalam proses membesar apabila anak ingin menjadi lebih berdikari dan mahu mengawal sendiri hidup mereka .Anak juga mempunyai kemahiran bahasa yang sangat terhad di usia sekitar 18 bulan sehingga 48 bulan .

Mari kita lihat tantrum dengan cara yang lebih positif, memahami dan mengenalpasti punca terjadi hal yang sedemikian .Anak di usia dini kebiasaan sekitar umur dua tahun belum boleh hendak meluahkan perasaan atau hasrat melalui pertuturan . Mereka akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibubapa atau pendidik memenuhi dan memeberikan apa sahaja kehendak atau apa yang mereka mahukan.

Sebenarnya inilah peluang kita memberikan bimbingan serta tunjuk ajar pada anak-anak agar dapat mengurus kemarahan dan kekecewaan yang selama ini telah disalah ertikan .Secara umumnya para ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak akan sentiasa memenuhi kehendak dan sanggup memberikan apa sahaja yang mereka mahukan asalkan kanak- kanak ini berhenti menangis, menjerit atau berguling- guling .

Bagaimana mengendalikan kanak-kanak yang sedang tantrum ?

Para ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak atau sesiapa sahaja yang sedang menghadapi situasi ini tidak usah panik ,kemungkinan besar tips ini boleh diambil kira yang mana sesuai dengan situasi yang berlaku

1. Tarik nafas panjang ,bertenang dan niatkan hendak mendidik ,membimbing bukan memarahi dan benci kepada anak
2. Pastikan anak berada di dalam keadaan selamat seperti tiada objek tajam disekeliling, bukan dekat dengan tangga atau tasik, kolam .
3. Asingkan anak dan bawa ke tempat yang lain bukan di khalayak ramai
4. Elakkan dari mencubit, memukul apa lagi memarahi anak dengan nada suara yang kuat .
5. Alihkan perhatian dengan membuat perkara yang lain maksudnya jangan langsung beri perhatian kepada tingkahlakunya.
6. Elakkan menghukum anak dengan memaksa mereka supaya tidak boleh bermain
7. Jauhkan dan sekali- kali tidak memberi ganjaran contohnya memberi telefon bimbit.

Jika kita sebagai orang dewasa maksudnya ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak melakukan tindakan mengikut emosi maka ini tidak akan menyelesaikan isu tantrum malahan bertambah parah lagi jadinya.
Menghukum anak dengan menjerit, memukul atau lain -lain perbuatan akan membuatkan ianya bertambah parah dan serious dalam tempoh jangkamasa pendek dan akan kekal di dalam tempoh jangkamasa panjang .

Memberikan apa sahaja mengikut kehendak kanak- kanak supaya anak berhenti tantrum pula juga sebenarnya akan menyebabkan mereka belajar memanipulasi keadaan .Kanak- kanak akan ingat bahawa apa yang mereka lakukan ini betul dan hal ini akan berterusan sehingga anak ini menjadi dewasa .Oleh itu jangan sekali- kali ibubapa memberikan apa yang kanak- kanak mahu dan sesekali jangan terpengaruh dengan reaksi orang lain ketika kita sedang menangani anak yang sedang tantrum.

Para ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak mesti berperanan mengajar anak bagaimana mengendalikan kemarahan dan kekecewaan . Pada kebiasaannya pakar- pakar mengatakan supaya kita abaikan sahaja atau jangan pedulikan , jangan beri tindakbalas dan jangan langsung pandang matanya.Kita mesti sentiasa berusaha mencari punca kenapa kanak- kanak mengalami keadaan ini dan sentiasa bertindak awal sebelum kanak- kanak ini gagal mengawal emosinya .

Apabila anak telah kembali tenang maka ibubapa dan para pendidik awal kanak- kanak bolehlah dekati anak dan kembali fokus kepadanya . Sentiasa memberi pujian atas kelakuan yang positif walaupun ianya sangat kecil dan jangan lupa peluk anak anda , usap di bahagian belakang badan sambil katakan , ayah@ mak@ Cikgu sangat sayang adik .Dengan cara ini anak pasti akan kekal tenang dan terus berkelakuan baik .Berilah keyakinan sentiasa yang kita sangat menyayangi mereka kecuali perlakuan tantrum yang kita tidak setujui.

Menangani tantrum adalah perkara biasa dalam proses perjalanan kehidupan membesarkan anak. Anak akan mulai belajar nilai- nilai murni mengawal emosi, bertolak ansur; bekerjasama dan bersabar apabila menghadapi kekecewaan.
Ibubapa dan pendidik perlu mengadakan perbincangan mengenai perkembangan anak-anak terutama apabila tantrum berlaku kerap dan berterusan.
Adalah dinasihatkan agar ibubapa berjumpa pakar pediatrik jika ianya berlarutan.

Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Pergigian Pediatrik Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat yang terdapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.mypositiveparenting.org atau Facebook kami di @positiveparentingmalaysia

Kenalpasti Sejak Dini

Setiap kanak-kanak akan mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan sejak bayi sehingga dewasa. Bahkan sejak mereka masih berada dalam kandungan seorang ibu. Ada sebilangan kanak-kanak yang melalui proses tumbesaran secara normal, sebilangan lainnya berubah dengan cepat, sedangkan sebilangan lainnya mengalami kelambatan. Bahkan tidak sedikit kanak-kanak yang berkembang dengan perbezaan yang sangat ketara bila dibandingkan dengan rujukan standard pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak di setiap peringkat umur. Ianya kemudian boleh menjadi cabaran bagi para ibu bapa.

Bila keadaan berlaku pada anak-anak kita, sepatutnya ibu bapa tidak perlu risau ataupun khawatir yang berlebih. Sebab seringkali yang menjadi permasalahan adalah bukan pada keadaan kelambatan perkembangan anak, tetapi pada sikap ibu bapa sendiri. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak menyedari berlakunya kelambatan perkembangan pada anak mereka. Namun sayangnya, tidak sedikit pula ibu bapa yang meskipun mereka menyedari keadaan kelambatan pertumbuhan dan perkembangan pada anak, tetapi mereka menafikan keadaan tersebut. Ianya berlaku mungkin disebabkan rasa malu, rasa tak puas hati, atau rasa kecewa pada ketetapan Tuhan.
Ibu bapa perlu memahami bahawa keadaan kelambatan perkembangan kanak-kanak dapat berkurang atau menjadi lebih baik apabila dilakukan intervensi sejak awal umur mereka. Ibu bapa perlu mengenalpasti permasalahan yang berlaku pada anak sejak awal dan menerima keadaan tersebut dengan ketelusan dan keikhlasan hati. Bila ibu bapa dapat menerima keadaan tersebut sejak awal maka intervensi pun boleh dilakukan sejak awal dan hasil yang didapat diharapkan lebih optimal. Intervensi di dalam dunia awal kanak-kanak bermaksud perkhidmatan sokongan untuk membantu bayi dan kanak-kanak yang mempunyai kelewatan dalam perkembangan dan pertumbuhan mereka (Better Health Cannel, 2015).

Intervensi awal kebiasaanya dikenali sebagai proses dalam menyediakan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang mengalami kecacatan perkembangan, iaitu keadaan yang kukuh, kondisi fizikal atau mental yang mempunyai kebarangkalian kepada kelewatan dalam perkembangan, kelewatan perkembangan, atau kanak-kanak yang mempunyai risiko dalam kelewatan perkembangan yang boleh memberi kesan kepada perkembangan atau menghalang pendidikan mereka yang bertujuan untuk mengurangkan kesan kecacatan atau ketidak-upayaan ataupun kelewatan dalam perkembangan mereka (Marshall, J; 2013).
Intervensi awal mesti dilakukan bersama para pakar. Namun sebelum berjumpa dengan pakar, ibu bapa dapat mengenal pasti kelambatan perkembangan yang berlaku pada anak sejak awal dengan cara yang lebih mudah dan sederhana melalui pemerhatian dalam rutin aktiviti sehari-hari. Pemerhatian dapat dilakukan pada masa memandikan bayi, memberi makan, bermain bersama bayi, berkomunikasi, bahkan lebih awal lagi pada masa bayi baru dilahirkan. Ibu bapa dapat menjalankan pemerhatian pada aspek pertumbuhan fizikal, perkembangan gerak motor anak, tindak balas, reflex, perkembangan bahasa dan komunikasi, perkembangan emosi, sosial dan interaksi, serta aspek perkembangan intelektual anak seperti pengenalan pada benda-benda, pemahaman, serta kemahiran berfikir.

1. Bayi Menangis
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, perkara pertama yang perlu kita pastikan adalah bayi akan menangis. Ianya berlaku disebabkan bayi merasakan perubahan keadaan persikataran dan suhu yang berbeza. Semasa janin berada dalam rahim ibu, ia akan merasakan suhu yang hangat, sunyi, dan selesa. Sedangkan selepas dilahirkan bayi akan merasa sejuk, terkena cahaya secara langsung, sehingga merasa tidak selesa. Tangisan bayi juga bermakna bahawa ia dapat menggunakan paru-parunya untuk bernafas. Oleh itu, bila sebaik sahaja bayi dilahirkan ia tidak menangis maka boleh bermakna ia mengalami permasalahan pada deria peraba ataupun pada fungsi pernafasannya.

2. Menoleh ke Kanan dan Kiri
Sejak dalam kandungan ibunya, bayi sudah dapat mendengar suara yang ada dekat persekitarannya. Selepas dilahirkan, pada bulan-bulan pertama ibu bapa dapat lakukan pemerhatian pada fungsi pendengaran bayi dengan cara membunyikan mainan secara perlahan di dekat telinga kanan dan kiri bayi, memanggil namanya, menjentik jari, tepuk tangan, atau bernyanyi. Semua dilakukan dengan cara perlahan dan berterusan sehingga ibu bapa dapat melihat tindak balas bayi. Bahkan sekali sekala ibu bapa boleh menutup pintu agak kuat atau menjatuhkan barang ke lantai untuk melihat tindak balas bayi. Perkara ini tidak disarankan secara berulang-ulang agar bayi tidak mudah terkejut. Apabila pada masa-masa ini bayi tidak menunjukkan tindak balas, rangsangan sebaiknya diteruskan sehingga umur enam bulan. Bila keadaan tidak ada perubahan, ibu bapa boleh berjumpa bersama pakar.

3. Gerak Mata dan Fokus
Umumnya bayi mula dapat melihat benda atau orang lain di dekatnya sejak umur tiga bulan. Jarak benda dengan mata pun tidak lebih daripada 30 cm. Rangsangan yang dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan menggerakkan benda seperti mainan yang berwarna cerah di hadapan mata bayi semasa ia diletakkan di atas tilam atau katil. Pemerhatian dapat dijalankan selepas bayi dimandikan atau masa ia tidak mengantuk. Selain mainan, ibu bapa juga dapat melakukannya dengan menggunakan tapak tangan atau wajah. Perhatikan gerak bola mati bayi samada dapat mengikuti gerak benda ataupun tidak. Disarankan juga kepada ibu bapa supaya tidak menggunakan mainan yang berbunyi, kerana kita perlu memastikan bahawa muka bayi bergerak disebabkan bayi melihat benda bukan kerana mendengar suara daripada benda. Lakukan berulang-ulang sehingga beberapa bulan atau sampai bayi dapat melihat benda dengan focus dan memberikan tindak balas seperti tersenyum, tertawa, atau tangannya bergerak seperti ingin memegang benda tersebut.

4. Bercakap
Perkembangan bercakap kanak-kanak bermula dengan menangis sejak umur 0-12 bulan. Kemudian tahapan cooing pada umur 3 – 6 bulan seperti keluarnya bunyi suara “ooo”, “aoo”, “aaa”. Diteruskan dengan bubbling masa umur 6 – 12 bulan seperti menyebut “baba” “mama” “papa” tanpa bermaksud untuk memanggil ibu atau ayahnya. Seterusnya pada umur 12 – 15 bulan adalah menyebut kata pertama iaitu masa bayi menyebutkan kata untuk pertama kali seperti menyebut kata “susu” “mam” atau kata lainnya. Kemudian pada umur 12 – 18 bulan menyebut dua kata seperti “nak susu” “dah habis” dan dua kata sederhana lainnya. Sehingga akhirnya anak mula bercakap dengan menggunakan ayat sederhana pada umur 18 – 24 bulan. Bila semua proses tahapan ini belum nampak pada bayi, ibu bapa perlu latih anak secara berterusan sampai ia berumur 2 tahun 6 bulan. Pada masa yang sama ibu bapa juga boleh berjumpa dengan pakar atau terapis. Bila lewat daripada 2 tahun 6 bulan kanak-kanak belum lagi bercakap, maka ia dikira mengalami kelambatan bercakap.

5. Berjalan
Sebelum berjalan, bayi akan melalui proses merayap, merangkak, kemudian berdiri. Umumnya kanak-kanak akan mula berjalan pada umur 12, 13, atau 14 bulan. Sesetengah kanak-kanak bahkan mula berjalan pada umur 10 atau 11 bulan. Bila sudah lebih daripada 18 bulan kanak-kanak masih belum dapat berjalan, maka ibu bapa perlu berjumpa dengan pakar. Kesediaan kanak-kanak berjalan Nampak apabila kaki-kaki mereka sudah kuat berdiri. Ibu bapa tidak perlu memaksakan kanak-kanak untuk duduk, berdiri, apatahlagi berjalan. Kerana ianya hanya akan menimbulkan masalah yang baru. Kanak-kanak akan memperlihatkan kesediaan untuk melakukan semua tugas perkembangan tersebut. Secara umum, kanak-kanak laki-laki akan berjalan lagi awal dari kanak-kanak perempuan, tapi bila anak-anak kita berlaku sebaliknya itu bukan lah sebuah masalah yang perlu dirisaukan.

6. Interaksi dan Komunikasi Dua Hala
Selepas umur enam bulan, kanak-kanak sepatutnya sudah mula mengenali nama sendiri, mengetahui ayah dan ibunya, kakak atau abangnya, atau orang-orang lain yang selalu ada di rumah. Bila kita panggil namanya, selalunya bayi akan menoleh atau memberi tindak balas orang yang memanggil namanya. Bila diajak berinteraksi seperti berkomunikasi, bermain, bergurau, atau bernyanyi, biasanya bayi akan fokus memperhatikan muka orang yang mengajaknya berinteraksi dan berkomunikasi. Masa bermain dengan bayi, dia akan mula suka bermain dengan memegang mata, hidung, rambut, jari, tangan, kalung, atau kain tudung orang yang bermain dengannya. Bayi yang normal akan suka bertentang mata dan bertindak balas dengan tersenyum, gelak ketawa, atau menggerakkan tangan dan kaki dengan orang lain yang ada di persekitarannya. Oleh sebab itu, bila anak kita tidak suka menoleh bila dipanggil namanya, tidak suka bertentang mata, asik dengan dunia dia sendiri masa diajak bercakap atau berkomunikasi, maka ibu bapa perlu membawanya kepada pakar.

7. Perilaku yang Tidak Biasa
Pada umumnya bayi umur 13 – 24 bulan akan memperlihatkan minatnya meneroka persekitaran. Aktif, dan rasa ingin tahunya cukup besar. Perlu mengambil masa yang cukup lama untuk membuatnya duduk dengan tenang. Pada masa ini perilaku bayi cukup mencabar bagi para ibu bapa. Tetapi ibu bapa perlu tahu bahawa apa yang berlaku tersebut sesungguhnya bayi sedang memperlihatkan dirinya dalam keadaan sihat dan normal. Keadaan akan jadi berbeza apabila selepas umur-umur tersebut, perilaku kanak-kanak mula tak dapat dikawal dan di luar daripada kebiasaan kanak-kanak pada umumnya. Tak boleh duduk tenang dan mendengar arahan orang dewasa seperti ibu bapa dan pendidik. Kerap menangis tiba-tiba tanpa sebab. Suka dengan alat permainan yang berpusing, atau suka memusingkan diri sendiri dengan kerusi atau benda-benda lainnya dan tak mahu berhenti. Perilaku menyerang atau menyakiti orang lain bahkan diri sendiri. Suka menjatuhkan diri atau menghentakkan kepala ke dinding. Bercakap seorang diri dengan bahasa yang tidak dimengerti oleh orang lain. Susah membezakan kanan dengan kiri seperti selalu tersilap memakai selipar. Jalan seringkali terjatuh meskipun tiada penghalang. Serta perilaku-perilaku lainnya yang tidak biasa pada umumnya. Maka ibu bapa perlu peka dan tidak membiarkan perkara tersebut berlarut-larut. Boleh terus merujuk kepada pakar dan segera lakukan intervensi awal, kerana ibu bapa dapat merancang pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan perkembangan dan pertumbuhan anak-anak seperti menerusi pendidikan, rutin harian, diet dan pemakanan, terapi dan aktiviti sokongan yang mampu membantu meningkatkan kadar pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak tersebut.

Aktiviti Kanak-Kanak Lewat Perkembangan Semasa Wabak

Ibu bapa yang diamanahkan anak yang istimewa oleh Tuhan ialah ibu bapa yang istimewa. Kerana menjadi ibu bapa untuk kanak-kanak yang istimewa atau mengalami kelambatan perkembangan bukanlah perkara yang mudah. Perlu kesedaran, kesabaran, ketelusan, kesungguhan dalam mencari dan mengumpulkan matlamat, serta ketekalan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak-anak mereka yang mesti melalui perjuangan sebagai kanak-kanak yang mengalami kelambatan perkembangan. Apatah lagi di masa wabak seperti sekarang ini, ibu bapa akan sangat diuji kerana mesti meluangkan masa dan usaha lebih untuk menjaga kanak-kanak mereka yang lambat perkembangan, meskipun dalam masa yang sama mereka pun harus memberikan perhatian dan penjagaan yang optimal untuk anak-anak mereka yang lain di rumah.

Namun, apa pun keadaan yang berlaku, kanak-kanak kelambatan perkembangan masih perlu mendapatkan perkhidmatan penjagaan dan pendidikan yang optimal. Seperti kanak-kanak yang lain, kanak-kanak lewat perkembangan juga memerlukan pemakanan yang sihat, perhatian, bimbingan, latihan, terapi secara rutin, serta pendidikan yang inklusif. Seperti yang telah disebutkan di dalam Dakar Framework pada tahun 2000, “Education for All – No one Left Behind”. Ianya bermakna bahawa setiap kanak-kanak perlu mendapatkan hak yang sama tanpa memandang warna kulit, taraf sosial dan ekonomi, agama, mahupun keadaan fizikal, mental, dan perkembangan mereka.

Dalam masa wabak atau pandemik seperti sekarang ini, pertambahan jumlah dan taraf tekanan ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak kelewatan perkembangan semakin meningkat. Seperti yang disebutkan dalam kajian terakhir Dr. Olaf Kraus de Camargo, associate professor of pediatrics at McMaster University, bahawa keadaan pandemik telah menyebabkan ramai ibu bapa mengalamai tekanan yang tinggi, kerana sokongan dan perkhidmatan yang selama ini digunakan oleh mereka tak dapat lagi dijangkau secara mudah (medicalxpress.com, 2020). Keadaan yang tak pernah dijangka ini menyebabkan para ibu bapa berasa kecewa dan tak tahu mesti berbuat apa. Ramai sebahagian daripada mereka yang tak berpeluang untuk menambah maklumat dan juga kemahiran dalam memberikan perkhidmatan menyeluruh untuk kanak-kanak lewat perkembangan di rumah.

Kuarantin diri di rumah di masa pandemik bukanlah perkara yang mudah bagi kanak-kanak lambat perkembangan dan juga para ibu bapa. Sekurang-kurangnya mereka perlu segera melakukan penyesuaian diri dengan perubahan rutin aktiviti anak, penyesuaian diri dengan proses latihan, pembelajaran, bahkan terapi di rumah bersama ibu bapa. Sedangkan kanak-kanak tersebut boleh jadi mempunyai kerapatan yang tinggi dengan pendidik, pediatrik, atau terapis mereka. Bahkan keadaan boleh jadi memburuk apabila kemudahan awam pun terhad bagi kanak-kanak untuk mendapatkan perkhidmatan rutin. Seperti yang dikatakan oleh Courtenay dan Perera (2020) dalam kajian mereka, bahawa keadaan pandemik sekarang ini sangat memberi cabaran bagi para ibu bapa dan kanak-kanak lambat perkembangan kerana pertimbangan penjarakkan sosial, kawalan pergerakan, atau kuarantin di rumah sangat menjadi prioriti. Apabila kanak-kanak lambat perkembangan ini dijangkiti virus, maka keadaan akan semakin teruk kerana tidak banyak hospital yang dapat menyediakan disabled-friendly quarantine serta kemudahan penjagaan kesihatan yang boleh diakses oleh kanak-kanak lewat perkembangan (UNICEF COVID-19 Response: Considerations for Children and Adults with Disabilities, 2020).

Oleh sebab itu, sebelum memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada kanak-kanak lewat perkembangan, ibu bapa dinasihatkan untuk menambah pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai sumber maklumat terlebih dahulu. Mereka perlu banyak mengikuti perbincangan di beberapa “webinar”. Sentiasa membaca untuk melihat perkembangan maklumat baru, sokongan daripada ahli-ahli keluarga serta kumpulan para ibu bapa yang juga mempunyai kanak-kanak istimewa. Perbincangan dengan para pakar juga perlu dilakukan secara berterusan. Serta yang paling utama adalah perbincangan bersama pendidik dan terapis anak untuk mengetahui proses pembelajaran dan terapi yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak lewat perkembangan sehingga dapat dijalankan selama anak berada di rumah.

Untuk menyokong cadangan di atas, maka beberapa perkara yang dapat dijalankan oleh ibu bapa bersama anak adalah:

1. Merubah secara perlahan rutin kanak-kanak di rumah. Rutin antara sebelum dan semasa pandemik cukup berbeza dan seringkali kanak-kanak mengalami tantrum bila kebiasaan yang dilaluinya mengalami perubahan. Ibu bapa memerlukan sedikit masa untuk menerangkan kepada anak terkait dengan keadaan wabak yang berlaku pada masa sekarang ini melalui gambar-gambar ataupun video. Sehingga kanak-kanak menyedari dan memahami bahawa setiap orang mesti berada di rumah dengan rutin yang agak berbeza daripada sebelumnya. Libatkan anak dalam menyenaraikan rutin yang baru dan latih mereka secara perlahan dan bertahap.

2. Latih dan biasakan kanak-kanak dengan membasuh tangan dengan air dan sabun ataupun menggunakan pembersih tangan. Memakai topeng muka bila terpaksa harus keluar rumah. Mengekalkan penjarakan sosial di mana pun berada terutama di ruang terbuka di khalayak ramai. Menerangkan kepada kanak-kanak sebab di sebalik alasan bahawa lawatan ke rumah kawan ataupun ahli keluarga lain tidaklah digalakkan.

3. Menaik taraf pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan digital access terutamanya untuk menjalankan proses pembelajaran dalam talian adalah penting bagi para ibu bapa. Bukan hanya itu, ibu bapa juga perlu berbincang dengan pendidik dalam mengakses dan memahami kurikulum sehingga dapat menjalankannya secara optimal bersama kanak-kanak di rumah. Berikan peluang kepada kanak-kanak untuk dapat berkomunikasi dengan pendidik dan terapis atau doktor pakar melalui panggilan video sehingga kanak-kanak tidak terus merasa kehilangan.

4. Ibu bapa juga dinasihatkan agar dapat mengatur persekitaran sehingga memberi keselesaan kepada kanak-kanak selama melakukan aktiviti di rumah. Bila diperlukan, pengaturan bilik dapat disesuaikan seperti bilik terapi atau bilik belajar individu di sekolah. Perlu dipastikan bilik aktiviti tidak terganggu daripada persekitaran luar. Masa untuk menjalankan aktiviti pun adalah salah satu aspek yang perlu menjadi perhatian. Ibu bapa perlu berbincang dengan ahli keluarga yang lain terutamanya adik beradik agar mereka memahami keadaan yang berlaku. Kerana tidak dapat dinafikkan yang ahli keluarga yang lain pun perlu mendapatkan hak yang sama di rumah.

5. Selain aktiviti pembelajaran dalam talian yang dijalankan di rumah, aktiviti terapi juga dapat dilakukan oleh ibu bapa bersama anak. Bila memungkinkan, ibu bapa dan anak dapat melakukan lawatan ke hospital atau pusat terapi dengan mengikuti prosedur keselamatan dan kesihatan. Selain itu, lawatan maya (telemedicine) seperti panggilan video bersama doktor pakar mahupun terapis, juga dapat menjadi salah satu alternatif. Bincangkan dengan penyedia perkhidmatan kesihatan mengenai cara untuk mengurangkan risiko pendedahan.

6. Tukar aktiviti-aktiviti luar bilik dengan aktiviti-aktiviti dalam bilik yang menyeronokkan dan memberi peluang kepada anak untuk melatih motor halus dan kasarnya. Memberi peluang kepada mereka untuk melatih bakat dan minat, kreativiti, serta mengutamakan sikap tingkah laku meskipun aktiviti hanya di rumah dan tidak berjumpa dengan ramai orang.

7. Tanpa mengira semua usaha itu, perkara terpenting yang perlu difahami oleh para ibu bapa adalah kerapatan dengan anak sepanjang tempoh kuarantin. Masa kuarantin ini lah peluang yang besar bagi setiap ibu bapa untuk lebih mengenali, memahami, dan membina kerapatan dengan anak. Ibu bapa tidak perlu merasa tertekan dengan beban akademik dalam proses pembelajaran talian. Demikian pula untuk masalah kesihatan tertentu ataupun berlaku perubahan perilaku pada anak, sebaiknya jangan ragu untuk menghubungi doktor pakar ataupun terapis anak bila sememangnya diperlukan.