Setiap Kanak-Kanak Adalah Juara

Manusia adalah makhluk yang unik, Tuhan telah ciptakan kita semua dalam keadaan yang berbeza-beza, demikian pula dengan kanak-kanak. Antara kanak-kanak yang satu dengan kanak-kanak yang lain mesti mempunyai perbezaan masing-masing. Perbezaan ini diperlihatkan melalui keadaan atau bentuk fizikal, bakat, minat, watak, mahupun proses tumbesaran mereka. Bahkan meskipun terlahir daripada ibu dan bapa yang sama, kanak-kanak sentiasa memperlihatkan perbezaan yang kentara. Oleh sebab itu, sangatlah tidak adil apabila ibu bapa membanding-bandingkan antara anak sulung dengan tengah, atau membandingkan antara anak bungsu dengan sulung, apatahlagi membandingkan mereka dengan kanak-kanak yang lain.

 

Secara umum setiap kanak-kanak akan mengalami proses tumbesaran daripada bayi sehingga remaja dan dewasa. Beberapa kanak-kanak akan melalui proses ini secara normal, sedangkan sebahagian yang lain akan melaluinya secara lebih cepat, bahkan ada pula yang agak lambat. Sebagai contoh pada pertumbuhan fizikal, ada beberapa kanak-kanak yang tumbuh lebih cepat pada tinggi badan tetapi mungkin lebih kurus dari kanak-kanak yang lain. Tetapi tidak sedikit juga kanak-kanak yang mempunyai badan yang lebih gemuk namun lebih rendah dari tinggi badan kanak-kanak yang lain. Boleh juga berlaku pada sebahagian yang lain, iaitu kanak-kanak yang tidak mempunyai bentuk tinggi badan yang sesuai dengan umur mereka bahkan tidak lagi mengalami pertambahan tinggi badan. Demikian juga berlaku pada proses perkembangan mereka, samada perkembangan bahasa seperti bercakap mahupun mendengar, perkembangan sosial dan emosi, perkembangan motor halus dan kasar, ataupun perkembangan kognitif, sehingga memberi impak kepada perkembangan akademik kanak-kanak pada masa mereka memasuki alam pendidikan formal.

 

Kita sama-sama boleh memahami ibu bapa yang mempunyai anak yang agak lewat perkembangan mungkin akan merasa sedih. Bila mereka tidak mahu mencuba untuk memahami keadaan seperti ini, maka pada akhirnya seringkali mereka memaksakan anak untuk menjadi seperti kanak-kanak yang lain. Disedari atau tidak, keadaan kanak-kanak pun akan menjadi semakin memperihatinkan. Puncanya adalah sikap ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat keadaan anak mereka yang istimewa. Mereka perlu ada keyakinan bahawa setiap kanak-kanak sudah diberikan bakat oleh Tuhan untuk dapat berkembang secara optimal. Demikian pula dengan kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan. Ibu bapa mesti yakin bahawa setiap kanak-kanak adalah juara. Kerana menjadi hebat dan juara tidak semestinya dalam bidang akademik sahaja. Mereka boleh optimal dengan bakat dan minatnya. Setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk mendapat kebahagiaan dan mencapai kejayaan.

 

Kanak-kanak yang agak lambat perkembangan juga mempunyai hak untuk mendapatkan kasih sayang, perhatian, bimbingan, serta pendidikan yang bersesuaian. Mereka juga perlu mendapat rangsangan dan latihan untuk mengembangkan bakat dan minat mereka secara optimal. Mereka sangat memerlukan peranan ibu bapa. Ianya sangat penting, memandangkan bahawa ibu bapa ialah orang-orang terdekat bagi kanak-kanak. Sokongan daripada ibu bapa sangat memberi erti bukan hanya pada perkembangan mental kanak-kanak, tetapi juga memberi kesan mendalam pada jiwa kanak-kanak.

 

Keadaan kelewatan perkembangan kanak-kanak bukanlah akhir daripada segalanya. Bila ibu bapa mahu menerima keadaan anak sejak awal, maka banyak perkara yang dapat dilakukan untuk membantu mengoptimalkan perkembangan anak. Ianya dapat dimulakan dengan membawa anak kepada pakar untuk mengenal pasti permasalahan yang dialami anak. Adakah mereka mengalami kelambatan dalam bercakap, masalah pendengaran, penglihatan, pergerakan, berjalan, tindak balas, atau permasalahan-permasalahan lainnya. Selain itu, doktor pakar pun akan memberikan nasihat dan cadangan kepada ibu bapa terkait dengan terapi yang sesuai dengan permasalahan anak, aktiviti yang sepatutnya dilakukan bersama anak di rumah, sokongan yang diperlukan daripada ahli-ahli keluarga yang lain, mahupun rangsangan-rangsangan daripada ibu bapa serta pendidik untuk mengenal pasti dan mengoptimalkan bakat minat anak. Ibu bapa juga mesti konsisten untuk memberikan bimbingan, motivasi, dan menyediakan pelbagai keperluan anak. Sentiasa telus, bersungguh-sungguh, menambah pengetahuan, dan bersedia mengorbankan tenaga, masa, serta kos yang tidak sedikit untuk anak.

 

Satoshi Tajiri, mempunyai sindrom asperger, menjadi pereka video game, pencipta kartun Pokemon serta pengusaha Nintendo. Dawn Prince-Hughes, terlahir dengan high-functioning autistic, mendapat PhD di bidang anthropology dan pakar etnolog. Adam Levine, masa kanak-kanaknya berjuang melawan ADHD, dikenali di banyak negara sebagai penyanyi yang bersuara unik dan mencipta banyak lagu. Jamie Brewer, seorang pelakon film Amerika meskipun dengan keadaan down-sindrom. Mozart, Einstein, Michael Jordan, serta ramai lagi orang-orang daripada pelbagai negara yang pada akhirnya berjaya walaupun ketika dahulu mengalami permasalahan perkembangan. Maka tidak mustahil apabila anak-anak kita yang mengalami kelewatan perkembangan pun dewasa nanti akan berjaya dalam bidang dan bakatnya sendiri, kerana setiap kanak-kanak adalah juara.



1 reply

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *