Raikan Kehebatan, Sembunyikan Kekurangan

Sesuatu yang menjadi budaya masyarakat kita apabila berkumpul sesama sanak keluarga aktiviti bercerita dan bertanya khabar menjadi agenda perbualan harian. Al-maklumlah sudah lama tak berjumpa, pelbagai cerita dan pengalaman dikongsi bersama sama ada prihal kehidupan mahupun berkaitan anak-anak. Tetapi, lebih menyedihkan, penampilan fizikal anak-anak ini seolah-olah dilihat sebagai satu bahan jenaka dengan mengaitkan dan membanding beza dengan anak lain, sepupu ataupun jiran seperti mengkritik berkaitan saiz badan sama ada gemuk atau kurus, warna kulit yang gelap atau bertompok, telinga atau mata yang tidak sempurna, seolah-olah sifat tersebut adalah kesilapan anak itu, dan bukannya disebabkan kurniaan dari Tuhan. Tidak kira sama ada anak lelaki atau anak perempuan, jika terdapat kekurangan atau sesuatu yang pelik terhadap fizikal seseorang anak, ia tidak terkecuali untuk diperkatakan.

 

Sesuatu kebiasaan dalam mengkiritik atau menyatakan kekurangan fizikal kanak-kanak sebenarnya adalah salah satu bentuk ganggunan psikologi yang membawa kepada penderaan emosi. Bayangkan apabila setiap hari dikritik atau dikutuk secara emosi, lama kelamaan boleh mendatangkan tekanan mental kepada kanak-kanak dengan kesan emosi negatif seperti sedih, marah, meradang, geram, benci, sakit dan sebagainya

 

Menurut Hagan (1993) penderaan emosi boleh mendatangkan gangguan psikologi kepada kanak-kanak terutama berkaitan mental dan emosi, sama ada didera dan dianayai oleh ahli keluarga terdekat mahupun orang luar seperti rakan atau jiran tetangga. Penderaan emosi ini boleh disebabkan oleh kurangnya kasih sayang disebabkan sifat benci terhadap fizikal, pengabaian, tidak dilayan atas faktor pilih kasih, perbualan yang tidak diterima dan sebagainya.

 

Apa yang membimbangkan, menurut pakar psikologi Whiting (1976)  menyatakan bahawa penderaan emosi terhadap keadaan fizikal kanak-kanak ini boleh menjadi ekstrem dan merbahaya apabila ibu bapa atau penjaga membiarkan proses penderaan ini berlaku secara berterusan dan dihalang untuk diberikan rawatan. Lebih memburukkan lagi apabila ibu bapa atau penjaga yang menjadi punca utama penderaan sehingga memberi kesan jangka masa panjang terhadap perkembangan emosi kanak-kanak seperti pengasingan diri, kemurungan, tidak berminat ke sekolah kerana malu, serta hilang keyakinan diri disebabkan perbandingan dengan rakan sekolah yang lain.

 

Hakikatnya perkembangan kanak-kanak seharusnya diukur dari segi nilai secara dalaman yang mampu digilapkan dan bukannya masalah fizikal luaran semata-mata. Oleh itu, saranan buat ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja supaya menghentikan amalan atau tindakan mengkritik keadaan fizikal kanak-kanak sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sekurang²nya dapat menjaga hak kanak-kanak dengan menghargai kehebatan yang mungkin dimiliki secara tersembunyi tetapi bermakna untuk masa depan mereka.



1 reply

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *