Permainan vs Pembelajaran Secara Online; Adakah Berkesan Atau Memberi Kesan?

Peningkatan kes covid-19 di Malaysia pada saat ini telah menyebabkan seluruh insitusi pengajian tidak kira taska sehinggalah universiti terpaksa ditutup. Hal ini telah menyebabkan banyak program pembelajaran yang telah dirancang terpaksa ditunda. Tidak lupa juga kepada kanak-kanak yang baru beberapa bulan masuk ke prasekolah atau sekolah rendah terpaksa menangguh pembelajaran mereka secara bersemuka dan diteruskan dengan kelas secara dalam maya. Pembelajaran secara norma baru ini bukan sahaja membuat kanak-kanak agak susah untuk meletakkan fokus mereka kepada pembelajaran bahkan boleh menyebabkan pengawalan tingkah laku mereka berada di tahap luar kawalan.

Menurut kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak, mereka menyatakan bahawa kanak-kanak boleh menggunakan gajet tetapi tidak boleh melebihi daripada 10 minit dan jangan tinggalkan mereka bersama gajet bersendirian. Hal ini demikian kerana penggunaan gajet terlalu kerap akan menyebabkan :

1. Proses perkembangan bahasa terganggu.

Menurut sumber Donna.com, pakar psikologi menasihatkan agar ibu bapa banyak berbual dengan anak kecil mereka sekerap yang boleh tentang apa sahaja. Membaca buku untuk anak sebelum tidur adalah aktiviti yang sangat disarankan kerana mereka dapat mempelajari perkataan baru dengan lebih cepat dengan sebutan yang tepat. Jika hanya bergantung kepada gadget, perkembangan bahasa anak anda akan sedikit lambat. Mungkin kerana dipengaruhi oleh Bahasa daripada watak kartun kegemaran atau kecelaruan bahasa sekeliling yang pelbagai.

2. Menyebabkan perkembangan otak pasif

Apabila kanak-kanak bermain gajet, mata mereka tidak aktif bergerak dan hanya tertumpu pada satu tempat. Fokus mata mereka juga hanya tertumpu untuk benda yang dekat. Ini akan menyebabkan pandangan mereka tidak luas. Akibatnya perkembangan otak juga tidak aktif. Deria penglihatan si kecil terutamanya yang berusia bawah 2 tahun harus dirangsang dengan cara merangsang urat saraf mata ke otak untuk perkembangan otak yang berkesan. Anda boleh membawa anak-anak dengan bersiar-siar melihat atau melatih fokus mata melihat benda jauh dan dekat.

3. Membantutkan perkembangan

Gajet atau sebarang skrin yang memaparkan rancangan, aplikasi atau permainan pendidikan khas untuk bayi langsung tidak memberi sebarang kesan kepada perkembangan otak bagi anak kecil di bawah umur 2 tahun. Persatuan Pediatrik Amerika juga mengeluarkan peraturan; menonton TV harus diterhadkan untuk bayi di bawah umur 2 tahun. Bukan sahaja ia tidak membantu dalam perkembangan otak, malah beberapa keburukan juga berpotensi untuk terjadi.

4. Kurang interaksi sosial

Kalau anda perasan, anak kecil yang lebih gemar menghabiskan masa dengan gajet mereka akan kurang berinteraksi dengan orang sekeliling. Ini berbeza dengan si kecil yang lebih banyak bermain atau berbual dengan ibu bapa. Melalui proses ini, mereka akan mengenal lebih banyak ekspresi muka, emosi, vokabulari dan ia lebih berinteraktif.

5. Tidak aktif

Bermain permainan di gajet tidak memerlukan anak kecil bergerak dan bermain aktif. Ini adalah sesuatu yang tidak patut berlaku kerana ia dapat menganggu tumbesaran anak anda akibat kurangnya penggunaan sensorimotor dan otot-otot terutamanya bahagian sendi jari-jemari, kaki dan lutut. Selain itu, ia juga mungkin boleh mendedahkan anak anda kepada kesan obesiti.

Pendedahan kanak-kanak kepada gadget seperti telefon bimbit, ipad dan laptop pada tempoh yang lama menyebabkan mereka membuat perkara yang di luar tajuk pembelajaran mereka pada masa itu. Sebagai contohnya, mereka akan bermain games semasa guru mengajar secara online, dan fokus mereka tidak sepenuhnya pada kelas mereka. Situasi ini bukan sahaja melambatkan proses pembelajaran kanak-kanak tetapi akan membuat mereka lupa tentang apa yang dipelajari selama ini. Oleh sebab itu, secara keseluruhannya pembelajaran melalui gadget ini jika tidak dikawal secara betul oleh ibu bapa, ia boleh memberi banyak impak negatifnya berbanding impak yang positif.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *