Pendidikan Inklusif Bagi Anak-Anak Istimewa – Akomodasi Dan Modifikasi

Dahulu, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa, buat pertama kalinya akan menjadi satu perkara yang mencabar bagi mereka untuk mencari tempat untuk  mendapatkan  pendidikan bagi anak-anak ini. Kini, mudah bagi ibu bapa menempatkan anak-anak istimewa ini bagi mendapatkan pendidikan yang sama seperti kanak-kanak tipikal yang lain, semuanya di hujung jari. Umum mengetahui kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan tumpuan dan sokongan yang lebih dari semua pihak. Sememangnya keupayaan kanak -kanak berkeperluan khas ini tidak sama dengan kanak-kanak tipikal. Walaupunbegitu, ianya tidak membataskan peluang pendidikan yang berhak mereka perolehi.

Pendidikan inklusif telah diperkenalkan dalam pendidikan khas. Pendidikan inklusif  yang memberi peluang kepada kanak-kanak bermasalah lewat perkembangan untuk mendapatkan persekitaran pendidikan yang sama seperti kanak-kanak tipikal yang lain. Usaha pihak tertentu dalam memberi peluang sama rata kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini wajar diberi penghargaan. Kita seharusnya tidak mengasingkan hak anak-anak istimewa ini dalam komuniti kita. Kita akui tidak semua kanak-kanak berkeperluan khas sesuai untuk diberi peluang turut serta dalam pendidikan inklusif ini. Kriteria seperti tidak cacat anggota badan dan boleh berkomunikasi antara perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan akan tercapai objektifnya.

Melalui pendidikan inklusif para pendidik akan memikirkan bagaimana cara untuk memastikan anak anak istimewa ini mendapat perhatian dan kefahaman yang optimum di dalam kelas dan pada masa yang sama memastikan kurikulum yang disediakan dapat berjalan seperti yang dirancang.

Bagi pendidikan inklusif ini, para pendidik kebiasaanya akan memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran diubah sedikit mengikut kemampuan anak-anak istimewa yang turut serta di dalam kelas. Modifikasi atau pengubahsuaian ini bertujuan supaya anak-anak istimewa ini dapat menjalani pembelajaran seperti rakan-rakan yang lain dan pada masa yang sama mengikut kemampuan diri mereka. Contohnya, pendidik meminta kanak-kanak mengasingkan objek mengikut warna. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, pendidik boleh melakukan modifikasi dengan cara mengurangkan jumlah warna yang perlu diasingkan.

 Ada juga pendidik yang menerapkan akomodikasi iaitu penyesuaian contohnya menyesuaikan jumlah tugasan yang diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini. Selain itu, guru boleh memberi penambahan masa, memberi sokongan yang lebih kepada kanak-kanak berkeperluan khas ketika melakukan tugasan, membantu menyusun dan mengembangkan ayat dan membuat aktiviti pengukuhan di dalam kelompok yang lebih kecil.

Antara cabaran untuk melaksanakan pendidikan inklusif  ini ialah isu penerimaaan ibu bapa. Rata rata ibu bapa lebih gemar anak mereka belajar di dalam kelas khas kerana bagi mereka pendidik yang mengajar lebih berpengalaman dalam mendidik anak mereka. Selain itu, ibu bapa yakin bahawa kelompok kelas yang sedikit membolehkan anak mereka diberi perhatian yang lebih oleh para pendidik berbanding bercampur dengan kelas kanak-kanak tipikal yang ramai. Penerimaan rakan sekelas dengan kanak-kanak lewat perkembangan ini juga adalah perkara yang timbul yang wujud dalam diri mereka untuk bergaul. Oleh itu, penting bagi ibu bapa mengetahui kandungan dalam pendidikan inklusif ini.

Pendidikan Inklusif merupakan usaha bagi menyamaratakan peluang pendidikan. Jadi bersama-sama lah kita mengusahakan kemenjadian program ini dengan cara ibu bapa hendaklah memberi kepercayaan kepada pendidik untuk merelisasikan apa yang dirancang. Pendidik juga perlu berusaha dengan lebih dan sentiasa mencuba pelbagai kaedah lagi bagi menjayakan pendidikan inklusif.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *