Memahami Dan Bagaimana Mengatasi Anak Yang Sedang Tantrum

Tantrum biasanya kita dapat lihat dengan aksi anak seperti kelihatan berguling- guling membaringkan badan di atas lantai.Kakinya pula meronta- ronta memusing- musing ke atas dan ke bawah . Kedua-dua belah tangan bergerak secara pantas ke kiri dan ke kanan.

Nada suara pula agak kuat seolah- olah seperti menjerit dan kadangkala seperti menangis tetapi tidak ada air mata yang mengalir .Hal ini berterusan selama beberapa minit kadangkala sehingga hampir sejam .

Ada usaha memujuknya makin kuat dan ganas serta sangat agresif anak ini meronta- ronta dan terkadang menyepak dan menendang kita dengan kekuatan yang luar biasa ,bibir saya pernah pecah dan luka berdarah menangani anak kerana di pukul dengan anak yang sedang dalam situasi begini gara-gara belum tahu mengendalikan anak yang mempunyai tingkahlaku seperti ini .

Tantrum adalah sesuatu kebiasaan @ normal tetapi amat mencabar ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak yang mengasuh anak mulai terbit matahari sehingga matahari terbenam semula .Tantrum boleh berlaku dalam bentuk yang berbeza, ianya mungkin adalah kekecewaan , kemarahan dan dalam bentuk tingkahlaku yang mencabar seperti jeritan, tangisan , membaling dan memecahkan objek serta kelakuan agresif yang lain .

Tantrum adalah tempoh singkat di mana berlakunya kemarahan secara tiba- tiba atau perlakuan tidak wajar seperti menangis, menjerit ,memekik dan menunjukkan ketidakpuashatian dengan memukul dan menendang .Ianya adalah perkara biasa dalam proses membesar apabila anak ingin menjadi lebih berdikari dan mahu mengawal sendiri hidup mereka .Anak juga mempunyai kemahiran bahasa yang sangat terhad di usia sekitar 18 bulan sehingga 48 bulan .

Mari kita lihat tantrum dengan cara yang lebih positif, memahami dan mengenalpasti punca terjadi hal yang sedemikian .Anak di usia dini kebiasaan sekitar umur dua tahun belum boleh hendak meluahkan perasaan atau hasrat melalui pertuturan . Mereka akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibubapa atau pendidik memenuhi dan memeberikan apa sahaja kehendak atau apa yang mereka mahukan.

Sebenarnya inilah peluang kita memberikan bimbingan serta tunjuk ajar pada anak-anak agar dapat mengurus kemarahan dan kekecewaan yang selama ini telah disalah ertikan .Secara umumnya para ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak akan sentiasa memenuhi kehendak dan sanggup memberikan apa sahaja yang mereka mahukan asalkan kanak- kanak ini berhenti menangis, menjerit atau berguling- guling .

Bagaimana mengendalikan kanak-kanak yang sedang tantrum ?

Para ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak atau sesiapa sahaja yang sedang menghadapi situasi ini tidak usah panik ,kemungkinan besar tips ini boleh diambil kira yang mana sesuai dengan situasi yang berlaku

1. Tarik nafas panjang ,bertenang dan niatkan hendak mendidik ,membimbing bukan memarahi dan benci kepada anak
2. Pastikan anak berada di dalam keadaan selamat seperti tiada objek tajam disekeliling, bukan dekat dengan tangga atau tasik, kolam .
3. Asingkan anak dan bawa ke tempat yang lain bukan di khalayak ramai
4. Elakkan dari mencubit, memukul apa lagi memarahi anak dengan nada suara yang kuat .
5. Alihkan perhatian dengan membuat perkara yang lain maksudnya jangan langsung beri perhatian kepada tingkahlakunya.
6. Elakkan menghukum anak dengan memaksa mereka supaya tidak boleh bermain
7. Jauhkan dan sekali- kali tidak memberi ganjaran contohnya memberi telefon bimbit.

Jika kita sebagai orang dewasa maksudnya ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak melakukan tindakan mengikut emosi maka ini tidak akan menyelesaikan isu tantrum malahan bertambah parah lagi jadinya.
Menghukum anak dengan menjerit, memukul atau lain -lain perbuatan akan membuatkan ianya bertambah parah dan serious dalam tempoh jangkamasa pendek dan akan kekal di dalam tempoh jangkamasa panjang .

Memberikan apa sahaja mengikut kehendak kanak- kanak supaya anak berhenti tantrum pula juga sebenarnya akan menyebabkan mereka belajar memanipulasi keadaan .Kanak- kanak akan ingat bahawa apa yang mereka lakukan ini betul dan hal ini akan berterusan sehingga anak ini menjadi dewasa .Oleh itu jangan sekali- kali ibubapa memberikan apa yang kanak- kanak mahu dan sesekali jangan terpengaruh dengan reaksi orang lain ketika kita sedang menangani anak yang sedang tantrum.

Para ibubapa dan pendidik awal kanak- kanak mesti berperanan mengajar anak bagaimana mengendalikan kemarahan dan kekecewaan . Pada kebiasaannya pakar- pakar mengatakan supaya kita abaikan sahaja atau jangan pedulikan , jangan beri tindakbalas dan jangan langsung pandang matanya.Kita mesti sentiasa berusaha mencari punca kenapa kanak- kanak mengalami keadaan ini dan sentiasa bertindak awal sebelum kanak- kanak ini gagal mengawal emosinya .

Apabila anak telah kembali tenang maka ibubapa dan para pendidik awal kanak- kanak bolehlah dekati anak dan kembali fokus kepadanya . Sentiasa memberi pujian atas kelakuan yang positif walaupun ianya sangat kecil dan jangan lupa peluk anak anda , usap di bahagian belakang badan sambil katakan , ayah@ mak@ Cikgu sangat sayang adik .Dengan cara ini anak pasti akan kekal tenang dan terus berkelakuan baik .Berilah keyakinan sentiasa yang kita sangat menyayangi mereka kecuali perlakuan tantrum yang kita tidak setujui.

Menangani tantrum adalah perkara biasa dalam proses perjalanan kehidupan membesarkan anak. Anak akan mulai belajar nilai- nilai murni mengawal emosi, bertolak ansur; bekerjasama dan bersabar apabila menghadapi kekecewaan.
Ibubapa dan pendidik perlu mengadakan perbincangan mengenai perkembangan anak-anak terutama apabila tantrum berlaku kerap dan berterusan.
Adalah dinasihatkan agar ibubapa berjumpa pakar pediatrik jika ianya berlarutan.

Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Pergigian Pediatrik Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat yang terdapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.mypositiveparenting.org atau Facebook kami di @positiveparentingmalaysia

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *