Kolaborasi TASKA Dengan Ibu Bapa Dan Komuniti Mengenai Kanak-Kanak Berkeperluan Khas

Kolaborasi antara ibu bapa dan komuniti dengan pihak TASKA amatlah penting kerana penglibatan pelbagai pihak adalah penting untuk memastikan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat hasil yang terbaik. Semuanya saling memerlukan satu sama lain. Ibu bapa dan komuniti memerlukan pihak TASKA bagi mendidik kanak-kanak berkeperluan khas manakala pihak TASKA memerlukan sokongan ibu bapa dan komuniti bagi memastikan kelancaran proses pendidikan dijalankan. Kolaborasi membawa maksud kerjasama. Dalam konteks ini, kerjasama yang diinginkan adalah melibatkan ibu bapa dan komuniti dengan pihak TASKA dalam apa jua bentuk.

Umum mengetahui, skop paling penting bagi penglibatan ibu bapa di TASKA adalah untuk kesinambungan pembelajaran. Antara sebabnya ialah bagi memantau perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza bagi setiap individu dan setiap dari mereka adalah unik. Oleh itu, ibu bapa harus berkolaborasi dengan pihak TASKA bagi mengetahui di mana tahap anak mereka dan apa yang anak mereka telah capai. Tambahan lagi, ibu bapa adalah individu yang paling dekat dengan anak-anak dan tahap perkembangan kanak-kanak istimewa ini di rumah diketahui oleh ibu bapa mereka. Selain itu, dengan kolaborasi yang baik juga akan menjadikan ibu bapa faham dan tahu akan kurikulum pembelajaran yang pendidik terapkan kepada anak mereka. Ini kerana ramai ibu bapa yang tidak jelas akan perkembangan yang sepatutnya anak mereka kuasai dalam peringkat-peringkat tertentu. Mengikut Dr. Fathi Yahani, ibu bapa dan masyarakat yang berjaya akan melahirkan anak-anak yang boleh mendiri dan berdikari. Jadi, dengan mengetahui perkembangan pembelajaran, bukan sahaja kanak-kanak berkeperluan khas ini mendapat pendidikan di TASKA malah berterusan juga di rumah. Tambahan lagi, dengan adanya kolaborasi antara ibu bapa dan pendidik, ibu bapa dapat mempelajari cara mengawal kanak-kanak berkeperluan khas mengikut cara yang pendidik terapkan di TASKA. Contohnya, cara menguruskan anak yang tantrum di rumah, cara mendidik kanak-kanak berkeperluan khas menguruskan diri sendiri dan yang berkaitan dengan cara mengendalikan mereka.

Bagi memastikan jurang antara ibu bapa dan pendidik, beberapa program boleh dilaksanakan supaya pendidik dan ibu bapa lebih selesa untuk berhubung dan berkongsi pendapat. Antara program yang boleh dijalankan ialah lawatan sambil belajar. Jujurnya bukan mudah pendidik hendak mengawal  kanak-kanak untuk bersiar-siar. Jadi, dengan penglibatan ibu bapa bersama-sama menyertai lawatan yang dijalankan, ibu bapa boleh bersama-sama mengawasi anak-anak mereka dan pada masa yang sama membantu pendidik menjalankan aktiviti untuk kanak-kanak tersebut serta pendidik dan ibu bapa boleh membentuk komunikasi yang baik. Selain itu, aktiviti seperti Hari Sukan, Hari Graduasi dan Konsert juga membantu merapatkan jurang antara ibu bapa dan pendidik. Pihak TASKA boleh melantik wakil ibu bapa untuk turut serta menjadi ahli jawatankuasa bagi program yang akan dilaksanakan. Dengan itu, pihak TASKA dapat bersama-sama berkongsi idea dan pandangan dari ibu bapa bagi melaksanakan program yang dirancang. Berkongsi idea secara kolektif atau syura beramai-ramai lebih bagus kerana kita dapat menambahkan lagi pendedahan dan buah fikiran dalam satu-satu perkara.

Kolaborasi yang berjaya kuncinya adalah komitmen. Komitmen adalah halangan dan cabaran yang paling utama. Kadangkala kita boleh perhatikan komitmen yang diberikan dari ibu bapa amat kurang ataupun ibu bapa yang sama sahaja yang rajin melibatkan diri. Untuk mendapatkan komitmen seratus peratus dari semua ibu bapa amatlah susah. Jika semua ibu bapa memberikan komitmen dah kerjasama, mudah bagi kedua-dua pihak menjalankan perkara yang dirancang.

Oleh itu, dengan cara berhubung merupakan aspek mudah untuk berkomunikasi dengan para ibu bapa bagi mendapatkan maklumat. Antara perkara yang boleh pihak TASKA lakukan untuk berhubung dengan ibu bapa ialah dengan memberi setiap bulan satu soal selidik bulanan bagi pendidik mengetahui perkembangan kanak-kanak di rumah, kekurangan dari segi pengurusan atau apa sahaja aspek. Setiap bulan pihak TASKA boleh menyenaraikan apa aspek perkara yang hendak diteliti dan soalan-soalan kajian yang berbeza bagi setiap bulan. Contohnya pada bulan pertama, pendidik akan menyoal selidik mengenai perkembangan kanak-kanak di rumah. Bulan kedua, soal selidik mengenai kemahiran yang kanak-kanak sudah mampu lakukan di rumah. Jadi dengan ini, pendidik dapat mengetahui perkembangan setiap murid dan boleh membuat rekod analisis. Selain itu, komunikasi paling berkesan sekali ialah berkomunikasi terus ketika ibu bapa mengambil anak-anak di TASKA. Inilah mudahnya kerana ibu bapa akan menghantar dan mengambil anak mereka terus di pintu TASKA. Pendidik yang mengajar setiap anak-anak itu yang perlu ditugaskan untuk menghantar sendiri muridnya bagi memastikan segala input, komen aau pengisian dapat disampaikan oleh kedua-dua pihak.

‘Parents as partner in education’. Ibu bapa sebagai rakan kongsi mendidik kanak-kanak adalah ungkapan yang saya popularkan. Marilah bersama-sama berganding tangan demi kebaikan anak-anak kita bersama, seiring dan sejalan, berkongsi suka duka, kekuatan kelemahan agar anda sentiasa disokong.Kesimpulannya, tugas pendidik sememangnya mendidik. Akan tetapi, pendidik juga memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan komuniti bagi kecemerlangan anak didik. Bak kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *