Kenalpasti Sejak Dini

Setiap kanak-kanak akan mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan sejak bayi sehingga dewasa. Bahkan sejak mereka masih berada dalam kandungan seorang ibu. Ada sebilangan kanak-kanak yang melalui proses tumbesaran secara normal, sebilangan lainnya berubah dengan cepat, sedangkan sebilangan lainnya mengalami kelambatan. Bahkan tidak sedikit kanak-kanak yang berkembang dengan perbezaan yang sangat ketara bila dibandingkan dengan rujukan standard pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak di setiap peringkat umur. Ianya kemudian boleh menjadi cabaran bagi para ibu bapa.

Bila keadaan berlaku pada anak-anak kita, sepatutnya ibu bapa tidak perlu risau ataupun khawatir yang berlebih. Sebab seringkali yang menjadi permasalahan adalah bukan pada keadaan kelambatan perkembangan anak, tetapi pada sikap ibu bapa sendiri. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak menyedari berlakunya kelambatan perkembangan pada anak mereka. Namun sayangnya, tidak sedikit pula ibu bapa yang meskipun mereka menyedari keadaan kelambatan pertumbuhan dan perkembangan pada anak, tetapi mereka menafikan keadaan tersebut. Ianya berlaku mungkin disebabkan rasa malu, rasa tak puas hati, atau rasa kecewa pada ketetapan Tuhan.
Ibu bapa perlu memahami bahawa keadaan kelambatan perkembangan kanak-kanak dapat berkurang atau menjadi lebih baik apabila dilakukan intervensi sejak awal umur mereka. Ibu bapa perlu mengenalpasti permasalahan yang berlaku pada anak sejak awal dan menerima keadaan tersebut dengan ketelusan dan keikhlasan hati. Bila ibu bapa dapat menerima keadaan tersebut sejak awal maka intervensi pun boleh dilakukan sejak awal dan hasil yang didapat diharapkan lebih optimal. Intervensi di dalam dunia awal kanak-kanak bermaksud perkhidmatan sokongan untuk membantu bayi dan kanak-kanak yang mempunyai kelewatan dalam perkembangan dan pertumbuhan mereka (Better Health Cannel, 2015).

Intervensi awal kebiasaanya dikenali sebagai proses dalam menyediakan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang mengalami kecacatan perkembangan, iaitu keadaan yang kukuh, kondisi fizikal atau mental yang mempunyai kebarangkalian kepada kelewatan dalam perkembangan, kelewatan perkembangan, atau kanak-kanak yang mempunyai risiko dalam kelewatan perkembangan yang boleh memberi kesan kepada perkembangan atau menghalang pendidikan mereka yang bertujuan untuk mengurangkan kesan kecacatan atau ketidak-upayaan ataupun kelewatan dalam perkembangan mereka (Marshall, J; 2013).
Intervensi awal mesti dilakukan bersama para pakar. Namun sebelum berjumpa dengan pakar, ibu bapa dapat mengenal pasti kelambatan perkembangan yang berlaku pada anak sejak awal dengan cara yang lebih mudah dan sederhana melalui pemerhatian dalam rutin aktiviti sehari-hari. Pemerhatian dapat dilakukan pada masa memandikan bayi, memberi makan, bermain bersama bayi, berkomunikasi, bahkan lebih awal lagi pada masa bayi baru dilahirkan. Ibu bapa dapat menjalankan pemerhatian pada aspek pertumbuhan fizikal, perkembangan gerak motor anak, tindak balas, reflex, perkembangan bahasa dan komunikasi, perkembangan emosi, sosial dan interaksi, serta aspek perkembangan intelektual anak seperti pengenalan pada benda-benda, pemahaman, serta kemahiran berfikir.

1. Bayi Menangis
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, perkara pertama yang perlu kita pastikan adalah bayi akan menangis. Ianya berlaku disebabkan bayi merasakan perubahan keadaan persikataran dan suhu yang berbeza. Semasa janin berada dalam rahim ibu, ia akan merasakan suhu yang hangat, sunyi, dan selesa. Sedangkan selepas dilahirkan bayi akan merasa sejuk, terkena cahaya secara langsung, sehingga merasa tidak selesa. Tangisan bayi juga bermakna bahawa ia dapat menggunakan paru-parunya untuk bernafas. Oleh itu, bila sebaik sahaja bayi dilahirkan ia tidak menangis maka boleh bermakna ia mengalami permasalahan pada deria peraba ataupun pada fungsi pernafasannya.

2. Menoleh ke Kanan dan Kiri
Sejak dalam kandungan ibunya, bayi sudah dapat mendengar suara yang ada dekat persekitarannya. Selepas dilahirkan, pada bulan-bulan pertama ibu bapa dapat lakukan pemerhatian pada fungsi pendengaran bayi dengan cara membunyikan mainan secara perlahan di dekat telinga kanan dan kiri bayi, memanggil namanya, menjentik jari, tepuk tangan, atau bernyanyi. Semua dilakukan dengan cara perlahan dan berterusan sehingga ibu bapa dapat melihat tindak balas bayi. Bahkan sekali sekala ibu bapa boleh menutup pintu agak kuat atau menjatuhkan barang ke lantai untuk melihat tindak balas bayi. Perkara ini tidak disarankan secara berulang-ulang agar bayi tidak mudah terkejut. Apabila pada masa-masa ini bayi tidak menunjukkan tindak balas, rangsangan sebaiknya diteruskan sehingga umur enam bulan. Bila keadaan tidak ada perubahan, ibu bapa boleh berjumpa bersama pakar.

3. Gerak Mata dan Fokus
Umumnya bayi mula dapat melihat benda atau orang lain di dekatnya sejak umur tiga bulan. Jarak benda dengan mata pun tidak lebih daripada 30 cm. Rangsangan yang dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan menggerakkan benda seperti mainan yang berwarna cerah di hadapan mata bayi semasa ia diletakkan di atas tilam atau katil. Pemerhatian dapat dijalankan selepas bayi dimandikan atau masa ia tidak mengantuk. Selain mainan, ibu bapa juga dapat melakukannya dengan menggunakan tapak tangan atau wajah. Perhatikan gerak bola mati bayi samada dapat mengikuti gerak benda ataupun tidak. Disarankan juga kepada ibu bapa supaya tidak menggunakan mainan yang berbunyi, kerana kita perlu memastikan bahawa muka bayi bergerak disebabkan bayi melihat benda bukan kerana mendengar suara daripada benda. Lakukan berulang-ulang sehingga beberapa bulan atau sampai bayi dapat melihat benda dengan focus dan memberikan tindak balas seperti tersenyum, tertawa, atau tangannya bergerak seperti ingin memegang benda tersebut.

4. Bercakap
Perkembangan bercakap kanak-kanak bermula dengan menangis sejak umur 0-12 bulan. Kemudian tahapan cooing pada umur 3 – 6 bulan seperti keluarnya bunyi suara “ooo”, “aoo”, “aaa”. Diteruskan dengan bubbling masa umur 6 – 12 bulan seperti menyebut “baba” “mama” “papa” tanpa bermaksud untuk memanggil ibu atau ayahnya. Seterusnya pada umur 12 – 15 bulan adalah menyebut kata pertama iaitu masa bayi menyebutkan kata untuk pertama kali seperti menyebut kata “susu” “mam” atau kata lainnya. Kemudian pada umur 12 – 18 bulan menyebut dua kata seperti “nak susu” “dah habis” dan dua kata sederhana lainnya. Sehingga akhirnya anak mula bercakap dengan menggunakan ayat sederhana pada umur 18 – 24 bulan. Bila semua proses tahapan ini belum nampak pada bayi, ibu bapa perlu latih anak secara berterusan sampai ia berumur 2 tahun 6 bulan. Pada masa yang sama ibu bapa juga boleh berjumpa dengan pakar atau terapis. Bila lewat daripada 2 tahun 6 bulan kanak-kanak belum lagi bercakap, maka ia dikira mengalami kelambatan bercakap.

5. Berjalan
Sebelum berjalan, bayi akan melalui proses merayap, merangkak, kemudian berdiri. Umumnya kanak-kanak akan mula berjalan pada umur 12, 13, atau 14 bulan. Sesetengah kanak-kanak bahkan mula berjalan pada umur 10 atau 11 bulan. Bila sudah lebih daripada 18 bulan kanak-kanak masih belum dapat berjalan, maka ibu bapa perlu berjumpa dengan pakar. Kesediaan kanak-kanak berjalan Nampak apabila kaki-kaki mereka sudah kuat berdiri. Ibu bapa tidak perlu memaksakan kanak-kanak untuk duduk, berdiri, apatahlagi berjalan. Kerana ianya hanya akan menimbulkan masalah yang baru. Kanak-kanak akan memperlihatkan kesediaan untuk melakukan semua tugas perkembangan tersebut. Secara umum, kanak-kanak laki-laki akan berjalan lagi awal dari kanak-kanak perempuan, tapi bila anak-anak kita berlaku sebaliknya itu bukan lah sebuah masalah yang perlu dirisaukan.

6. Interaksi dan Komunikasi Dua Hala
Selepas umur enam bulan, kanak-kanak sepatutnya sudah mula mengenali nama sendiri, mengetahui ayah dan ibunya, kakak atau abangnya, atau orang-orang lain yang selalu ada di rumah. Bila kita panggil namanya, selalunya bayi akan menoleh atau memberi tindak balas orang yang memanggil namanya. Bila diajak berinteraksi seperti berkomunikasi, bermain, bergurau, atau bernyanyi, biasanya bayi akan fokus memperhatikan muka orang yang mengajaknya berinteraksi dan berkomunikasi. Masa bermain dengan bayi, dia akan mula suka bermain dengan memegang mata, hidung, rambut, jari, tangan, kalung, atau kain tudung orang yang bermain dengannya. Bayi yang normal akan suka bertentang mata dan bertindak balas dengan tersenyum, gelak ketawa, atau menggerakkan tangan dan kaki dengan orang lain yang ada di persekitarannya. Oleh sebab itu, bila anak kita tidak suka menoleh bila dipanggil namanya, tidak suka bertentang mata, asik dengan dunia dia sendiri masa diajak bercakap atau berkomunikasi, maka ibu bapa perlu membawanya kepada pakar.

7. Perilaku yang Tidak Biasa
Pada umumnya bayi umur 13 – 24 bulan akan memperlihatkan minatnya meneroka persekitaran. Aktif, dan rasa ingin tahunya cukup besar. Perlu mengambil masa yang cukup lama untuk membuatnya duduk dengan tenang. Pada masa ini perilaku bayi cukup mencabar bagi para ibu bapa. Tetapi ibu bapa perlu tahu bahawa apa yang berlaku tersebut sesungguhnya bayi sedang memperlihatkan dirinya dalam keadaan sihat dan normal. Keadaan akan jadi berbeza apabila selepas umur-umur tersebut, perilaku kanak-kanak mula tak dapat dikawal dan di luar daripada kebiasaan kanak-kanak pada umumnya. Tak boleh duduk tenang dan mendengar arahan orang dewasa seperti ibu bapa dan pendidik. Kerap menangis tiba-tiba tanpa sebab. Suka dengan alat permainan yang berpusing, atau suka memusingkan diri sendiri dengan kerusi atau benda-benda lainnya dan tak mahu berhenti. Perilaku menyerang atau menyakiti orang lain bahkan diri sendiri. Suka menjatuhkan diri atau menghentakkan kepala ke dinding. Bercakap seorang diri dengan bahasa yang tidak dimengerti oleh orang lain. Susah membezakan kanan dengan kiri seperti selalu tersilap memakai selipar. Jalan seringkali terjatuh meskipun tiada penghalang. Serta perilaku-perilaku lainnya yang tidak biasa pada umumnya. Maka ibu bapa perlu peka dan tidak membiarkan perkara tersebut berlarut-larut. Boleh terus merujuk kepada pakar dan segera lakukan intervensi awal, kerana ibu bapa dapat merancang pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan perkembangan dan pertumbuhan anak-anak seperti menerusi pendidikan, rutin harian, diet dan pemakanan, terapi dan aktiviti sokongan yang mampu membantu meningkatkan kadar pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak tersebut.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *