Bijak Tadbir Urus TASKA Anak- Anak Istimewa – SOP Norma Baharu Semasa Pandemik Coronavirus @ Covid19

Wabak covid19 yang melanda tidak dijangka telah mengubah satu dunia. Beberapa bulan lagi Coronavirus telah menghampiri kita genap setahun dan dalam tempoh itulah kita perlu hidup di dalam norma yang baharu. Kini, kita semua perlu mengikuti Prosedure Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tidak lepas juga bagi operasi TASKA yang akan berhadapan dengan kelompok kanak-kanak yang ramai. Jadi, pentingnya pihak TASKA mengamalkan SOP bagi membasmi virus covid19.

SOP yang perlu diikuti bagi pihak TASKA terbahagi kepada tiga pembahagian iaitu :

  1. Sebelum memulakan operasi
    • Sebelum memulakan operasi, pihak TASKA perlu memastikan warga pendidik dalam keadaan yang sihat dan tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit covid19 atau pernah keluar negara.
    • Warga pendidik perlu memastikan kawasan TASKA dinyahkuman menggunakan pembasmi kuman dua kali sehari. 
    • Setiap anak-anak perlu menghantar Borang Pengisytiharan Kesihatan seminggu sekali sebelum memasuki TASKA.
  2. Semasa operasi
    • Suhu badan perlu diperiksa sebelum memasuki TASKA. Jika suhu melebihi 37.5C, anak-anak tidak dibenarkan masuk ke TASKA.
    • Jika terdapat anak-anak yang sakit atau bergejala ketika pembelajaran dijalankan, para pendidik perlu mengasingkan mereka. Oleh itu, perlunya tempat pengasingan di kawasan TASKA bagi menempatkan anak-anak yang tidak sihat.
    • Menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap tempat masuk dan mendidik anak-anak untuk sentiasa membasuh tangan.
    •  Melakukan jarak sosial di dalam kelas dan juga ruang makan.
    •  Penggunaan pelitup separuh muka atau pelindung muka perlu dipakai.
  3. Setelah tamat operasi
    • Selepas operasi, proses sanitasi perlu dilakukan sekali lagi. Warga pendidik perlu memfokuskan tempat-tempat yang selalu dipegang seperti tombol pintu, pemegang tangga, meja, peralatan belajar atau mainan.

Sebagai warga pendidik, kita adalah antara individu penting yang harus menerapkan pengetahuan mengenai covid19 ini kepada anak-anak istimewa. Fokuskan kepada mereka untuk mengamalkan 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan. Terapkan pentingnya kebersihan kepada anak-anak dengan mendidik mereka cara mencuci tangan yang betul. Amalkan 7 langkah mencuci tangan selama 20 saat bagi mencegah virus covid19. Mengenai kesihatan, terapkan kepada anak-anak istimewa ini untuk makan makanan yang berkhasiat dan perbanyakkan buah-buahan bagi meningkatkan sistem imunisasi badan anak-anak. Anak-anak juga boleh dididik dengan keselamatan diri supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka, basuh tangan sebelum menyentuh makanan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Pendidik juga perlu bersama-sama dengan anak-anak istimewa untuk melakukan proses sanitasi kerana anak-anak akan lebih cepat belajar dan ingat jika diamalkan sendiri dalam kehidupan seharian. Didiklah dengan cara yang bersahaja seperti meminta anak-anak mengelap meja menggunakan tisu basah selepas makan atau meminta anak-anak menyembur cecair sanitasi di mainan mereka sesudah selesai bermain.

Tambahan lagi, sebagai pendidik, sentiasa terapkan amalan 3W iaitu wash (cuci), wear (pakai) dan warn (amaran) kepada anak-anak. Terangkan kepada mereka untuk sentiasa membasuh tangan. Bagi anak-anak istimewa ini, para pendidik perlu sentiasa membawa mereka membasuh tangan dan menunjukkan cara yang betul bersama-sama. Selain itu, pastikan anak-anak ini memakai pelitup separuh muka. Mungkin ada anak-anak istimewa yang agak rimas dengan pemakaian pelitup separuh muka (facemask), jadi pendidik boleh menyesuaikan dengan memakaikan pelindung muka (faceshield) pula mengikut keselesaan mereka. Antara amaran yang boleh diterapkan kepada anak-anak ini ialah jangan bersentuhan dengan rakan-rakan atau didik mereka cara bersin yang betul. Didik juga mereka untuk elakkan 3S iaitu tempat yang sesak, sempit dan jangan bersembang dekat dengan rakan-rakan. Terangkan secara santai kepada anak-anak istimewa seperti bercerita secara bersahaja tetapi diulang-ulang setiap hari. Lama kelamaan anak-anak ini akan faham mengenai wabak yang melanda kita sekarang.

Selain itu, nyanyian lagu coronavirus juga boleh dipasang setiap pagi sebagai pendedahan kepada anak-anak istimewa. Sekarang terdapat pelbagai lagu kanak-kanak yang boleh diakses di laman sesawang antaranya lagu jom lawan coronavirus atau di sana virus di sini virus.

Tambahan lagi, peranan ibu bapa juga penting dalam mendedahkan bahayanya coronavirus kepada anak-anak istimewa mereka. Hari-hari ibu bapa boleh berbual di dalam kereta sebelum menghantar anak-anak ke TASKA mengenai covid19 supaya anak-anak faham dan sedar apa yang terjadi sekarang.

Kesimpulannya, kita tidak akan tahu bila virus covid19 ini akan berakhir dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita sebagai manusia perlu berusaha melakukan segala perkara yang boleh mengurangkan kita mendapat jangkitan ini kemudian barulah bertawakal. Mahu atau tidak, kita perlu hidup di dalam norma yang baru ini dan semua pihak harus bersama-sama menerapkan pengetahuan yang baharu kepada anak-anak agar mereka memahami apa yang terjadi.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *